suria

Bekas Senator Wan Ramlah Wan Ahmad Meninggal Dunia

Wan Ramlah Wan Ahmad
BESUT: Bekas senator, Wan Ramlah Wan Ahmad, 70, meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira pukul 10 pagi Jumaat.

Wan Ramlah yang juga bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Besut dirawat di IJN sejak beberapa hari lalu setelah dipindahkan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat komplikasi jantung.

Menurut Setiausaha Politik kepada Anggota Parlimen Besut, Datuk Halim Jusoh ketika dihubungi Bernama, jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raja, Besut pada malam ini.

"Urusan penghantaran jenazah telah dilakukan dan jenazah akan dikebumikan malam ini juga," katanya.

Wan Ramlah adalah seorang pemimpin wanita yang disegani dan berpengaruh bukan sahaja di Besut malah di Terengganu.

Beliau memegang jawatan ketua Wanita Umno Bahagian Besut paling lama iaitu selama 25 tahun bermula 1984 hingga 2009
Allahyarhamah pernah memegang jawatan senator antara 2004-2010 tetapi mengundurkan diri daripada politik selepas diserang angin ahmar pada 2010.

Allahyarham meninggalkan tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.

Artikel Berikut

Artikel Lain