suria

Pengurangan Saman Bukan Untuk Kesalahan Serius - Polis

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menyokong penuh cadangan Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan kadar saman bagi kesalahan trafik tertentu tetapi menegaskan bagi kesalahan serius kadar denda akan dikekalkan.

"Sebagai contoh kesalahan serius adalah memandu laju, melanggar lampu merah dan memotong barisan," kata Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mahamad Akhir Darus ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata polis mengurangkan kadar saman bagi kesalahan trafik kecil seperti meletak kenderaan di tempat tidak sepatutnya sejak 2011.

Namun kadar maksimum semasa iaitu RM300 untuk kesalahan serius terutamanya mereka yang menyebabkan kemalangan harus dikekalkan," katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan kementerian itu untuk mengurangkan kadar saman bagi kesalahan trafik tertentu daripada RM300 kepada RM150.

Jika diluluskan, pesalah perlu membayar kadar saman tersebut dalam tempoh dua minggu.

Sebarang kelewatan akan menyebabkan kadar saman itu meningkat.

Mahamad Akhir berkata bagi kesalahan berkaitan tempat letak kenderaan, denda sebanyak RM100 akan dikenakan.

"Kami juga menyokong sepenuhnya langkah untuk menyelaraskan kadar saman yang dikenakan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Sekarang sudah tiba masanya dan ia perlu dilakukan untuk kemudahan semua pengguna jalan raya," katanya.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata cadangan itu masih tertakluk kepada kelulusan Kabinet dan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan.

Beliau juga berkata kadar saman itu mesti diselaraskan.

Menurut Abdul Aziz, cadangan itu bertujuan untuk menyelaraskan saman antara setiap agensi bagi kesalahan yang sama.

saman, kesalahan trafik, PDRM, JPJ

Artikel Lain