suria

Reformasi Parlimen: Sediakan Ruang Berbahas Secara Profesional - Azalina

Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said percaya usul penambahbaikan Dewan Rakyat yangdi persetujui anggota Dewan hari ini akan menyediakan ruang kepada anggota Parlimen untuk berbahas dan menyuarakan masalah rakyat secara lebih profesional.

Beliau selaku menteri yang bertanggungjawab berkata kerajaan juga komited untuk memastikan proses demokrasi di negara ini sentiasa subur dan beliau berharap semua anggota Parlimen dapat memelihara Dewan Rakyat sebagai satu badan legislatif negara yang dihormati.

"Saya berterima kasih kepada semua anggota Parlimen yang berbahas dan menyokong usul tersebut. Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengilhamkan reformasi Parlimen ini dan berperanan penting untuk memastikan ia diterima baik anggota Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Pada Khamis, usul mengenai penyata Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat, Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang mengandungi cadangan pindaan kepada peraturan-peraturan tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.   

Usul yang dibentangkan di bawah Peraturan Mesyuarat 86(5) oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang juga anggota jawatankuasa itu disetujukan anggota Dewan tanpa pindaan.

Azalina turut berterima kasih kepada Mohamed Nazri kerana membawa usul tersebut di samping mengucapkan terima kasih kepada semua Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat yang turut menyumbang tenaga dan pendapat dalam menggariskan teras penting transformasi itu.

Beliau berkata tiga teras penting yang diterima Dewan adalah pindaan berkenaan pertanyaan jawab lisan, pewujudan Kamar Khas dan pewujudan Waktu-waktu Pertanyaan Menteri.-Bernama

Artikel Lain