suria

Tiga Maut Terhidu Gas Beracun Dalam Kapal

KOTA KINABALU: Tiga lelaki maut dan tiga yang lain cedera dipercayai terhidu gas beracun di dalam sebuah kapal di Pelabuhan Sabah di Sepanggar pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Pauzi berkata mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Sumartho Julkifli dan Imran Ladia manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Likas.

"Hasil ujian yang dibuat oleh pasukan Hazmat mendapati gas yang dihidu mereka berupa gas hidrogen sulfida," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pihak bomba menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.18 pagi.
Sementara itu, Pengarah Hospital Likas Dr Tan Bee Hwai ketika dihubungi enggan mendedahkan identiti mangsa yang meninggal di hospital itu.

"Seorang daripada empat mangsa yang dikejarkan ke hospital telah meninggal dunia manakala dua mangsa dalam keadaan kritikal dan seorang lagi dalam keadaan stabil," katanya.

Menurut Dr Tan, ketiga-tiga mangsa yang cedera akan dihantar ke Unit Rawatan Rapi Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk rawatan susulan.

Seorang lelaki yang merupakan rakan kepada mangsa ketika ditemui di Hospital Likas namun enggan namanya disiarkan, berkata kejadian berlaku antara pukul 7 dan 8 pagi dan terdapat lapan orang di atas kapal berkenaan.

Beliau berkata seorang daripada mangsa yang maut dalam kejadian itu terjatuh ke dalam tong simpanan ikan di atas kapal berkenaan selepas membuka penutup tong dan terhidu gas beracun yang keluar dari tong berkenaan.

Katanya seorang rakan yang melihat kejadian itu cuba membantu dengan turun ke dalam tong ikan berkenaan namun gagal dan turut terbunuh.


Artikel Lain