suria

Aina Abdul buat kelainan fesyen tuala ‘good morning’ di Separuh Akhir AJL40, rupanya ada maksud tersirat

Penampilan Aina sering kali mendapat perhatian ramai.

PENYANYI Aina Abdul sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil dengan busana luar biasa menggunakan lebih 150 helai tuala ‘Good Morning’ ketika membuat persembahan di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-40 pada malam Jumaat.

Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata pemilihan tuala tersebut bukan sekadar untuk mencipta kelainan, sebaliknya mempunyai makna tersendiri yang melambangkan kemunculan semula dirinya dalam industri muzik.

"Pemilihan ‘Good Morning Towel’ ini juga ada simboliknya. Sebelum ini mungkin ada yang menyangka saya berehat, tetapi sebenarnya tidak.

Pemilihan busana tuala mempunyai simbolik tersendiri.

"Jadi, konsep ‘Good Morning’ itu melambangkan kemunculan semula saya, seolah-olah kembali dengan semangat baharu.

"Untuk busana ini, kami menggunakan lebih 150 helai kain dengan kualiti gred tertinggi, iaitu ‘triple A’, yang lebih tebal dan sesuai dijadikan pakaian. Proses menyiapkannya mengambil masa kira-kira dua minggu," katanya kepada mStar. 

Mengulas mengenai idea di sebalik rekaan unik itu, Aina mendedahkan ia hasil cetusan pereka fesyen Melinda Looi, yang sentiasa berusaha menampilkan konsep berbeza setiap kali mereka bekerjasama.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesekali Aina Abdul bersuara, balas komen negatif netizen

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Saya banyak buat silap sebab terlalu gementar” - Aina Abdul terkejut jadi pilihan Siti Nurhaliza, anggap detik paling bersejarah dalam kerjaya

"Idea datang daripada Melinda. Kami sudah lama berbincang tentang apa lagi kelainan yang boleh dilakukan kerana sebelum ini kami sudah mencuba pelbagai idea.

"Melinda kemudian menghantar gambar ‘Good Morning Towel’ dan mencadangkan untuk menjadikannya sebagai busana. 

"Saya memang gemar idea yang luar daripada kebiasaan, jadi saya terus menyahut cabaran tersebut," ujarnya. 

Sebelum ini mungkin ada yang menyangka saya berehat, tetapi sebenarnya tidak.

AINA ABDUL 

PENYANYI

Dalam pada itu, Aina turut berkongsi rasa kurang puas hati terhadap persembahannya menerusi lagu Kamu susulan gangguan teknikal yang berlaku ketika siaran langsung.

"Saya tidak berapa puas sebenarnya. Mungkin ada yang perasan, ada sedikit gangguan teknikal yang berlaku dan itu antara sebab saya rasa kurang puas hati.

"Gangguan teknikal itu berlaku seketika dan sedikit sebanyak memang mengganggu persembahan saya. Sejujurnya, saya agak terkilan dan kecewa juga. Sepanjang sesi raptai, langsung tiada masalah seperti ini berlaku.

"Namun, inilah persembahan secara langsung. Apa sahaja boleh terjadi. Saya terima sahaja, cuma rasa sedikit kecewa itu memang ada," katanya.

Aina kurang berpuas hati menerusi persembahannya di pentas SFMM40.

Selain lagu Kamu, hari pertama saingan SFMM40 turut menyaksikan persembahan daripada Hijab Rindu nyanyian Black, Pernah Punya Aku (Shila Amzah), Tangisan Seorang Pendosa (Marsha), Tiwikarma (K.O.I), Puaskah (Ameerais & Mariam Sam) dan Semacam Pandora (Hazama). 

Turut bersaing adalah lagu Hilangmu Tak Terganti (Tajul & Afieq Shazwan), Ke Mana Ni (Luca Sickta, Kmy Kmo & Salam Musik) dan Khai Bahar (Kerana Ego), F (Floor 88).

SFMM40 bersiaran secara langsung selama dua hari berturut-turut bermula 17 April dan 18 April di TV3 dan Tonton.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain