suria

Indeks Syariah Malaysia Tidak Bertentangan Perlembagaan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Perdana Ulama dan Umara 2016 & Pembentangan Indeks Syariah Malaysia 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Isnin. -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia dalam negara majmuk ini dipastikan tidak bertentangan dengan perlembagaan atau mengambil hak serta cuba mengubah cara hidup penganut agama lain.

Beliau menegaskan bahawa matlamat utama pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia itu adalah bagi memupuk perpaduan ummah di kalangan rakyat.

Selain berpaksikan perlembagaan negara, pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia juga sama sekali tidak akan mengambil kuasa Raja-Raja Melayu, yang dijadikan rujukan dalam hal berkaitan agama selaku ketua agama Islam di negara ini, katanya.

"Saya harap tidak timbul keraguan, kebimbangan di kalangan bukan Islam bila kita perkenalkan indeks syariah...saya harap kita semua faham keseluruhannya, katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perdana Ulama-Umara 2016 dan Pembentangan Laporan Indeks Syariah Malaysia 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Isnin.

Pada majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan Malaysia memperoleh skor keseluruhan Laporan Indeks Syariah 2015 sebanyak 75.42 peratus.

Skor itu berdasarkan penyelidikan komprehensif dan saintifik merangkumi lapan bidang utama yang berkaitan pelaksanaan dasar dan program kerajaan iaitu bidang pendidikan; perundangan Islam; ekonomi; politik; kesihatan; sosial; budaya dan prasarana dan persekitaran.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaannya lebih efektif dan berimpak tinggi.

Katanya beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu, manakala ketua setiausaha negara memimpin urus selia jawatankuasa itu.

Najib berkata pengenalan indeks itu diharapkan berupaya menjadi satu bentuk penyelesaian terhadap konflik dalam masyarakat negara ini dan dunia Islam di mana istilah 'negara Islam' dijadikan punca atau polemik dan perbalahan sehingga berlakunya bunuh membunuh antara sesama umat.

"Projek indeks syariah ini begitu penting dan dekat di hati saya sebagai ketua kerajaan, dan bersama komitmen rakan-rakan dalam kerajaan kita akan pastikan usaha pelaksanaannya dilakukan dengan efektif.

"Kita bersedia untuk indeks syariah ini terus diperbaiki dari semasa ke semasa," katanya.

Perdana Menteri berkata hubungan, kerjasama dan perbincangan bersama para ulamak akan terus dimantapkan dan pihak lain juga diundang memberi pandangan ke arah penambahbaikan untuk pelaksanaan indeks yang lebih sempurna.

Artikel Lain