suria

Ahli Parlimen DAP Mahu Parti Tentukan Kedudukannya

Sim Tong Him
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him menggesa DAP membuat keputusan berhubung keahliannya, menyatakan tentang kedudukannya yang terumbang-ambing sejak Februari lalu.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin, beliau berkata adalah tidak wajar untuk parti mengenepikan kedudukannya tanpa membuat keputusan.

"Mereka perlu beritahu saya sama ada saya kini bebas atau jika mereka masih mahu saya dalam parti.

"Mereka telah menggantung saya, tetapi apabila saya kata saya bukan ahli parlimen DAP, mereka tanya siapa yang beri hak untuk saya berkata demikian, jadi saya terumbang-ambing, " katanya.

Pada 6 Februari, DAP mengeluarkan penggantungan satu tahun terhadap Tong Him dan Adun Duyong Goh Leong San.

Setiausaha jawatankuasa disiplin parti Tai Xing Piao berkata kedua-dua mereka digantung kerana telah berkali-kali membuat kenyataan merosakkan reputasi DAP.

Menjelaskan bahawa beliau menerima surat penggantungan pada Februari, Tong Him berkata beliau telah menulis kepada Speaker Parlimen untuk memberitahu tentang situasi yang berlaku.

"Saya mahu lihat apa yang Speaker akan atur dari segi tempat duduk.

"Tempat duduk saya kekal dan beliau memberitahu saya bahawa keputusan itu terletak pada parti itu. Beliau memberitahu saya bahawa 'hanya jika parti menyatakan anda bebas, maka anda bebas," katanya.

Beliau menyatakan kekecewaan terhadap parti itu yang kini dilihat tidak mampu menangani perbezaan pendapat.

Beliau menambah bahawa beliau berasa disisihkan oleh parti dan adalah sesuatu yang menyedihkan jika parti hanya mahukan 'pak turut' sebagai ahli.
Sim Tong Him, gantung keahlian

Artikel Lain