suria

Kerajaan Selangor Perlu Jelaskan Pembinaan Loji Baharu

Datuk Seri Noh Omar
KUALA SELANGOR: Pentadbiran negeri Selangor perlu menjelaskan mengapa dua loji rawatan air yang baharu perlu dibina ketika projek Langat 2 ditangguhkan, kata Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar.

Noh Omar, yang juga Presiden Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS) berkata pentadbiran kerajaan negeri perlu berterus terang mengenai kelewatan dalam pembinaan loji rawatan air Langat 2 dan bukannya membina loji yang baharu.


"Kedua-dua loji ini adalah satu pembaziran. Jika projek Langat 2 tidak terganggu, ia akan dapat menampung keperluan rakyat untuk air terawat," katanya.

Beliau menyifatkan pembinaan dua loji ini sebagai taktik politik sempit, sambil menambah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu memberi tumpuan untuk memenuhi keperluan rakyat.

Noh Omar berkata tindakan menandatangani perjanjian Langat 2 dengan kerajaan persekutuan oleh bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah satu langkah yang betul.

Sebelum itu, Azmin mengumumkan pembinaan dua loji rawatan air, sambil menambah pembinaannya akan bermula pada pertengahan 2016.

Kedua-dua loji baharu itu adalah Labuhan Dagang di Kuala Langat yang akan mempunyai kapasiti air 200 juta liter (JLH) dan loji Semenyih 2 di Jenderam Hilir.

Labuhan Dagang dijangka membekalkan air terawat ke penduduk di Sijangkang, Banting dan Teluk Panglima Garang manakala loji Semenyih 2 akan membekalkan air terawat ke Semenyih dan Beranang.

Artikel Lain