suria

KPN Arah Tony Pua Disiasat Berhubung Catatan Di Twitter

Tony Pua
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan Pusat Tindakan Siasatan Siber Polis (PCIRC) menyiasat pengerusi DAP Selangor Tony Pua berhubung catatan di akaun Twitternya pada Sabtu mengenai satu keputusan mahkamah.

Beliau berkata anggota Parlimen Petaling Jaya Utara itu dipercayai sengaja memutarbelitkan fakta kes mahkamah membabitkan kematian Aminulrasyid Amzah  bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

"PCIRC@PDRMsia. Tweet ini sengaja memutarbelitkan fakta bertujuan mengelirukan rakyat. Panggil orang ini dan siasat," kata Khalid dalam catatan terbarunya di Twitter.

Pua dalam akaun Twitternya antara lain memberi komen tentang kes kematian remaja lelaki itu dan turut memuat naik artikel berita bertajuk 'IGP refuses to apologise to Aminulrasyid's family'.

Khamis lepas, keluarga Aminulrasyid, remaja lelaki yang mati terkena tembakan seorang anggota polis enam tahun lepas, menerima ganti rugi berjumlah RM414,800 selepas Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan tuntutan saman dikemukakan mereka terhadap polis dan kerajaan.

Dalam saman itu, ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad, 67, dan kakak sulung Aminulrasyid, Nor Azura, 46, selaku plaintif menamakan Koperal Jenain Subi, Ketua Polis Daerah Shah Alam, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Saman sivil itu difailkan bagi menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas dakwaan kematian Aminulrasyid akibat luka tembakan di kepala berpunca daripada kecuaian Jenain.

Artikel Lain