suria

Polis Belum Terima Notis Lengkap Himpunan 2 April - KPN

Khalid Abu Bakar.

KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima notis lengkap daripada penganjur perhimpunan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan yang dijadualkan di ibu negara, 2 April ini. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihak penganjur harus mengikuti peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Mana-mana pihak yang ingin membuat perhimpunan harus memaklumkan pihak polis terlebih dahulu.

"Sekiranya tidak ada notis lengkap, pihak polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya mana-mana pihak cuba melanggar akta ini," katanya kepada pemberita selepas turut sama menyertai Program 'Trim & Fit' PDRM sempena Hari Peringatan Polis ke 209 di sini, Jumaat.

Pakatan Harapan mengumumkan rancangan mengadakan perhimpunan bagi menuntut peletakan jawatan perdana menteri pada 2 April ini di Dataran Merdeka.

Mengulas mengenai perhimpunan tertutup yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam, Ahad ini, Khalid berkata, pemantauan akan dibuat dan sekiranya didapati terdapat ucapan yang berbaur hasutan, tindakan akan diambil.

Dalam perkembangan lain, Khalid menegaskan PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk anggotanya sendiri sekiranya terlibat dengan kumpulan militan Daesh.

"Polis tidak akan 'pilih bulu' sekiranya terdapat anggota penguat kuasa terlibat dengan militan Daesh ini dan tindakan tegas tetap akan diambil.

"Kita tidak mahu fahaman Daesh ini semakin berkembang dan terus bertapak di negara kita," katanya.

Pada Khamis, seorang anggota polis merupakan antara 15 individu warga tempatan ditahan setelah disyaki terlibat dalam kumpulan militan Daesh.

Kesemua mereka yang terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita berusia 22 hingga 49 tahun itu ditahan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Terengganu dalam operasi dijalankan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas pada Selasa lepas hingga Khamis. Foto Bernama

Artikel Lain