Inspektor Polis Dihukum Gantung Sampai Mati - Semasa | mStar

Inspektor Polis Dihukum Gantung Sampai Mati

IPOH: Seorang Inspektor polis dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat selepas didapati bersubahat menyebabkan kematian seorang pemilik kedai emas tujuh tahun lalu.

Mohd Taufik Peter Abdullah, 49, didapati bersalah membenarkan pistolnya diguna oleh seorang rakan dikenali sebagai S. Nagendran ketika sama-sama merompak kedai emas Max Goldsmith  and  Jewellery di Jalan Sultan Iskandar, di sini pada 2009.

Hakim Datuk Samsudin Hassan membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan selain mendapati keterangan tertuduh sentiasa berubah-ubah.

Selain itu, katanya, mahkamah juga mendapati ketiga-tiga saksi pembelaan mempunyai kaitan atau tali persaudaraan dengan Mohd Taufik Peter iaitu isteri, ibu dan ibu saudara.

"Sudah pasti saksi-saksi ini, atas kemunasabahan akan menyebelahi tertuduh, malah ada keterangan saksi pembelaan yang bercanggah dengan keterangan tertuduh," katanya menambah percanggahan keterangan menyebabkan mahkamah menolak pembelaan alibi tertuduh.

Mohd Taufik Peter, yang sebelum ini bertugas di bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, tenang ketika hakim menyampaikan keputusan.

Dalam kejadian pada 16 Sept 2009 antara pukul 3.30 hingga 5.10 petang, Nagendran didapati menembak mati pemilik premis tersebut, Chen Fun Kee menggunakan pistol milik Mohd Taufik Peter.

Nagendran meninggal dunia pada 2011 akibat serangan jantung.

Samsuddin berkata pemeriksaan balistik mengesahkan kelongsong peluru di tempat kejadian dan anak peluru yang berada di dalam badan si mati dilepaskan dari pistol milik tertuduh.

"Selain itu barang kemas yang dicuri ditemukan dalam kereta jenis Honda Civic milik tertuduh di rumahnya di Bandar Meru Raya," katanya.

Mohd Taufik Peter didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum menurut seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh, Muhammad Farhan Ahmad Fadzir dan Ashvinder Kaur.

Sebanyak 26 saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 28 Mac 2011.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain