suria

Aseanapol Tubuh Pangkalan Data Forensik Jenayah Rentas Sempadan

KUALA LUMPUR: Bahagian Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan sistem pangkalan data forensik pada 2017 khusus untuk mengenal pasti penjenayah dalam aktiviti jenayah rentas sempadan.

Ketua Penolong Pengarah D13 Jabatan Siasatan Jenayah (Databank DNA) SAC Hussein Omar Khan berkata sistem itu diwujudkan bersama Polis Asean (Aseanapol) bagi membolehkan perkongsian maklumat di antara agensi penguat kuasa itu.

Katanya ia juga akan menjadikan Asean sebagai rantau yang komited dalam membanteras jenayah penyeludupan dadah, senjata api dan pemerdagangan manusia.

Menurut Hussein, pangkalan data itu akan mempunyai maklumat penjenayah yang disyaki termasuk maklumat ujian asid deoksiribonukleik (DNA), cap jari, maklumat ujian balistik dan wajah penjenayah.

"Kami sedang dalam proses rangka kerja untuk mewujudkan pangkalan data itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini sempena sambutan Hari Polis ke-209 esok.

Beliau berkata dengan adanya pangkalan data itu, PDRM dapat mengesan suspek dengan lebih cepat berbanding sebelum ini yang memerlukan permohonan rasmi kepada negara ASEAN terbabit untuk mendapatkan maklumat penjenayah.

Hussein berkata pangkalan data itu tidak melibatkan maklumat mengenai pengganas kerana ia akan dimasukkan ke dalam sistem khas yang lain oleh PDRM.

Sejajar dengan pengalaman PDRM lebih daripada dua abad, Hussein bangga dengan perkembangan tugasan Bahagian Forensik PDRM yang turut berkembang merentasi sempadan negara antaranya termasuk membuat tugasan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) di luar negara.

Beliau berkata bahagian itu terbabit menjalankan siasatan DVI seperti  kejadian tsunami di Acheh pada 2004, pesawat AirAsia Indonesia yang terhempas pada 28 Dis 2014 dan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014.

"Jika kepakaran DVI diperlukan kami akan menyertainya di bawah payung Polis Antarabangsa (Interpol) kerana kita mempunyai pengalaman luas," katanya.

Hussein yang juga Komander Pasukan DVI berkata DVI dianggotai 60 anggota yang terdiri daripada pegawai polis, pakar perubatan, forensik, pergigian dan ahli kimia.

Menurutnya, Makmal Forensik PDRM yang diwujudkan pada 2002 di Cheras di sini mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Standard Malaysia menerusi sijil MS ISO/EC 17025:2005 untuk sistem pengurusan kualiti makmal berkenaan.

Katanya peralatan serta kaedah yang digunakan forensik PDRM kini setanding dengan negara maju yang lain.

"Anggota forensik PDRM mendapat latihan di Australia serta Amerika Syarikat dan keputusan daripada forensik PDRM diterima pakai mahkamah di negara ini," katanya.

Hussein turut mencadangkan supaya pasukan forensik diperluaskan ke setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi membolehkan siasatan terhadap kes dilakukan dengan cepat.

"Ketika ini pasukan forensik hanya ada di peringkat kontinjen, dan jika ada di setiap IPD, ia akan memudahkan lagi kerja penyiasatan," katanya.

Artikel Lain