suria

"Saya Tak Lari, Akan Bertanggungjawab" - Khairy

Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kontroversi penyelewengan dana kira-kira RM100 juta membabitkan kementeriannya.

Tegas Khairy, sebagai menteri yang menerajui portfolio itu sejak 2013, beliau akan memastikan siasatan berhubung kes berprofil tinggi itu dijalankan secara telus dan menyeluruh.

"Kes ini menyebabkan kehilangan sejumlah wang yang besar. Ia menyebabkan kemarahan banyak pihak.

"Ia sesuatu yang sangat dikesali, ini adalah tanggungjawab saya untuk pastikan siasatan ini dijalankan dengan baik.

"Saya bertanggungjawab untuk menjawab apa yang berlaku sekarang. Sangat penting untuk saya ambil tanggungjawab dan pastikan proses ini diselesaikan secepat mungkin dan secara bebas serta pastikan isu begini tidak berlaku lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Menara Dato' Onn di sini, Selasa.

Ditanya sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) perlu menyiasat menteri terdahulu sebelumnya kerana dipercayai kes berkenaan berlaku sejak enam tahun lalu, Khairy menegaskan bahawa beliau bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di zaman pentadbirannya.

"Saya menteri yang bertanggungjawab hari ini, saya menjawab berkenaan apa yang berlaku dan kes yang ada di depan saya hari ini.

"Saya serah siasatan kepada SPRM dan badan siasatan bebas. Tapi saya menteri yang bertanggungjawab hari ni, saya akan menjawab berkenaan dengan kementerian saya...bukannya orang lain," katanya.

Diminta mengulas mengenai desakan supaya beliau meletak jawatan, Khairy bagaimanapun enggan melayan permintaan berkenaan.

"Saya ada tanggungjawab untuk pastikan segala proses ini diperbaiki dan diperbetulkan. Sebab ini berlaku diperingkat pentadbiran, dan dia telah memanipusikan proses dan prosedur sejak sekian lama.

"Tugas dan tanggungjawab saya untuk pastikan siasatan dibuat secara menyeluruh tanpa gangguan, bebas dan telus.

"Tanggungjawab saya ialah untuk mengambil langkah proaktif dan betulkan keadaan," katanya.

Pada sidang media itu Khairy memberikan ruang seluas-luasnya kepada pihak media untuk mengajukan soalan berhuhung kontoversi berkenaan.

Beliau secara terbuka meminta pengamal media mengajukan soalan mengenai isu berkenaan sehingga semua pihak berpuas hati.

"Ada orang kata saya cuba mengelak. Buat PC (sidang media) 20 minit tak cukup.

"Ok? Saya sentiasa ada, i'm not running away. Boleh cari saya bila-bila masa," katanya sinis.
dana KBS, Khairy Jamaluddin

Artikel Lain