suria

WWF-Malaysia, Maybank Jalin Kerjasama Laksana Program Konservasi Harimau

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Azlan Shah melawat pameran gambar pemuliharaan harimau pada pelancaran Program Kerjasama Pengukuhan Konservasi Harimau di Belum Rainforest Resort, Banding, Gerik, Isnin.

GERIK: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyaksikan pelancaran program kerjasama pengukuhan konservasi harimau yang dikendalikan di Kompleks Hutan Belum-Temengor antara Yayasan Maybank dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia) di sini, Isnin.

Majlis pelancaran diadakan di Belum Rainforest Resort, Pulau Banding di sini dan turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Operasi WWF-Malaysia Datuk Dr Dionysious S.K Sharma serta Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor.

Menerusi kerjasama itu, Maybank memperuntukkan sebanyak RM7 juta untuk melaksanakan program-program pemuliharaan harimau bagi tempoh empat tahun di Kompleks Hutan Belum-Temengor dan bagi tahun pertama, sebanyak RM1.2 juta akan dibelanjakan. 

Program konservasi itu antara lain merangkumi penyelidikan terhadap harimau dan haiwan sumber makanan, kerjasama bersama masyarakat setempat serta pelbagai agensi penguat kuasa. 

Kompleks Hutan Belum-Temengor yaang terletak di utara Perak dengan keluasan kira-kira 3,000 kilometer persegi merupakan satu daripada tiga tapak utama bagi Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan dan ketika ini dianggar terdapat kira-kira 40 ekor harimau di hutan itu. --Bernama 


Artikel Lain