suria

Ibu Pelakon Ummi Nazeera Kekal Bebas Tuduhan Beri Keterangan Palsu

Ummi Nazeera (kiri) bersama ibunya Maziah ketika menghadiri prosiding mahkamah baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelakon Ummi Nazeera, kekal bebas daripada pertuduhan memberi keterangan palsu selepas pendakwaan menarik balik rayuan terhadap pembebasannya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni menarik balik rayuan, ketika kes ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ahmad Asyraf Mohamed Kamal.

Nur Hafizah ketika ditemui pemberita memberitahu pihaknya memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan tidak bercadang untuk meneruskan rayuan berkenaan, oleh itu mahkamah membatalkan rayuan tersebut.

Pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Datuk Maziah Musa daripada pertuduhan dengan sengaja memberi keterangan palsu pada perbicaraan kes penceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 16 Oktober 2009, tanpa memanggilnya membela diri.

Pada 20 Mei 2013, Maziah pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan itu, bagaimanapun dia dibebas tanpa dilepaskan (DNAA) oleh mahkamah kerana beberapa saksi penting tidak dapat hadir pada perbicaraan kes itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan menggunakan sijil nikah palsu bertarikh 25 Disember 1997 yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Narathiwat Thailand. 

Maziah sekali lagi didakwa atas pertuduhan sama pada 31 Julai 2015, namun pada 19 Oktober tahun sama Majistret Nur Azura Murah melepas dan membebaskan Maziah  daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi.

Maziah diwakili peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Mohd Akmal Abu Bakar dan Muhammad Zaki Sukery.-- Bernama



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain