suria

Bentuk Pekerja Lebih Sihat

PETALING JAYA: Majikan Malaysia yang menanggung bil perubatan hampir RM1.5 juta setiap tahun membuat penilaian yang lebih selain daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Pihak majikan cuba membentuk kakitangan mereka menjadi sihat dan mementingkan penjagaan kesihatan diri.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menganggarkan bahawa pihak syarikat membayar RM1.18 juta bagi kos perubatan untuk pekerja yang dimasukkan ke hospital serta sebanyak RM46.3 juta lagi bagi pesakit luar membabitkan seramai kira-kira 6.6 juta tenaga kerja.

Pengiraan itu adalah hasil kajian yang dijalankan pada tahun lepas berhubung faedah perubatan.

Sehubungan itu, pihak syarikat mula mencari alternatif lain selain menyediakan gimnasium untuk kakitangan mereka.

Selain memperkenalkan pelbagai program kesihatan, mereka juga menawarkan ganjaran kewangan untuk menggalakkan kakitangan menjaga kesihatan.

Ada sesetengah syarikat juga memberikan kakitangan mereka produk pergigian percuma bagi menggalakkan mereka memberus gigi dengan betul.

Bagi pekerja di Westports Malaysia, mereka wajib melalui pemeriksaan kesihatan dan mereka kemudian diberikan "kod warna".

"Keputusannya akan diterjemahkan ke dalam tiga kumpulan yang menunjukkan tahap kesihatan mereka: hijau adalah baik, kuning jingga untuk kesihatan sederhana, dan merah untuk pekerja yang berisiko tinggi.

"Mereka dalam kategori merah dan kuning jingga wajib menghadiri sembilan sesi gimnasium dalam masa sebulan," kata Rosli Kamaruddin, Presiden Majlis Perundingan Bersama Westports.

Langkah berkenaan adalah di bawah program 'Passport Kesihatan' yang diperkenalkan pada tahun 2011 dan 2014.

"Semua pekerja akan menjalani pemeriksaan kesihatan seperti indeks jisim badan (BMI), kolesterol dan kandungan gula, ukuran saiz pinggang dan pinggul serta tekanan darah," katanya.

"Pada 2011, kami memeriksa 3,072 pekerja dan mendapati 8 peratus daripadanya adalah dalam kategori merah. Selepas enam bulan menghadiri sesi gimnasium dan lain-lain, ujian semula telah dilakukan dan kategori merah berkurangan kepada kurang daripada 5 peratus.

"Sambutan amat menggalakkan. Kami merancang untuk menjalankan program ini setiap dua tahun," katanya.

Syarikat itu juga memperkenalkan pertandingan Mr Westports dan Mr Body Smart pada Disember tahun lepas.

Artikel Lain