suria

BN Letak Calon Langsung Di Dudong Dan Bawang Assan - Adenan

Adenan Satem.

SIBU: Calon langsung Barisan Nasional (BN) akan diletakkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan dan Dudong pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN11).

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem bagaimanapun belum lagi menamakan dua calon langsung tersebut bagi kedua-dua kerusi yang menjadi rebutan antara Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan parti serpihannya Parti Rakyat Bersatu (UPP).

"Saya belum lagi putuskan (nama calon langsung bagi Bawang Assan dan Dudong). Walau apa pun, akan ada calon langsung BN," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Dudong di sini, Sabtu.

Dua kerusi tersebut merupakan kerusi tradisional ditandingi SUPP sebelum ini.

Dudong jatuh ke tangan pembangkang DAP pada pilihan raya negeri ke-10 manakala calon BN ketika itu Datuk Seri Wong Soon Koh berjaya mempertahankan kerusi Bawang Assan. 

Wong yang dipecat daripada SUPP berikutan masalah dalaman kemudiannya menubuhkan UPP.

Dua lagi ditandingi SUPP turut jatuh ke tangan pembangkang ialah Bukit Assek dan Pelawan.

Apa yang dinyatakan oleh Adenan itu mungkin menggambarkan kedua-dua parti yang telah diminta berunding mengenai agihan kerusi yang hendak ditandingi, gagal untuk mencapai sebarang persetujuan.

Pada 28 Februari lalu sempena Program Memperkasakan Jentera Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon 10 di sini, Adenan meminta SUPP-UPP dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP)-Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) supaya berkompromi berhubung pengagihan kerusi.

Beliau mengingatkan jika mereka masih gagal berbuat demikian mereka tidak dibenar bertanding menggunakan lambang BN. 

Sementara itu, ketika ditanya sama ada calon langsung BN juga akan diletak di kerusi Bukit Assek dan Pelawan, Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak berkata: "UPP sedia membantu SUPP di kawasan ini".

Adenan turut menasihatkan pengundi bumiputera di kawasan Dudong dan Bawang Assan (Bahagian Sibu) serta Repok dan Meradong (Bahagian Sarikei) supaya mengelakkan undi berpecah.

Walaupun pengundi bumiputera di kawasan tersebut adalah minoriti, jika mereka bersatu mereka masih menjadi penentu siapa calon yang menang bertanding.

"Nasihat saya jangan pecah undi mereka dan undi seperti mana yang saya cadangkan selepas penamaan calon nanti," katanya.

Kira-kira 4,000 masyarakat bumiputera dari kawasan Dudong dan Bawang Assan menghadiri majlis tertutup itu.

Turut hadir Adun Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Ketua PBB Dudong Tan Sri Bustari Yusuf. - Bernama

Artikel Lain