suria

Dua Lelaki Ditahan Cederakan Anggota Polis Bertugas

KOTA KINABALU: Polis menahan dua lelaki selepas dipercayai mendatangkan kecederaan kepada dua anggota polis yang sedang melakukan tugas rondaan bermotosikal di kawasan Luyang, di sini Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu DSP Rosdi Mat Jusoh berkata suspek warga tempatan berumur 29 dan 44 tahun itu ditahan pada hari yang sama iaitu kira-kira 1.30 tengah hari di Lahad Datu yang terletak kira-kira 404 kilometer dari pusat bandar ini.

"Dalam kejadian kira-kira 2.40 pagi, dua anggota polis terserempak dengan sebuah kenderaan, seorang lelaki duduk di bahagian penumpang hadapan manakala seorang lagi berada di luar kenderaan dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah di kawasan Taman Mutiara, Luyang.

"Apabila diperiksa, lelaki yang berada di luar kenderaan itu tiba-tiba masuk dan menghidupkan enjin, sebelum bertindak mengundurkan kenderaan sehingga menyebabkan kedua-dua anggota polis tercedera dan terjatuh," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Rosdi berkata seorang daripada anggota polis itu telah melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bertujuan untuk memberhentikan kereta suspek yang melarikan diri meninggalkan lokasi.


"Ekoran kejadian itu, pihak polis menjalankan operasi mengesan suspek dan kenderaan terbabit dan kedua-dua suspek berjaya ditangkap kira-kira 1.30 tengah hari di Lahad Datu," katanya.

Rosdi berkata hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemukan tiga butir peluru "12-bore shotgun" dan beberapa peralatan yang dipercayai untuk melakukan pecah rumah dan dua nombor pendaftaran palsu.

"Siasatan lanjut mendapati kenderaan jenis Proton Waja itu dilaporkan hilang pada 21 Feb lepas di Inanam," katanya.

Katanya kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 (memiliki peluru shotgun); Seksyen 18(1) Akta Kesalahan Kecil (memiliki peralatan pecah rumah); Seksyen 379A Kanun Keseksaan (curi kenderaan) dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain