suria

Nasib Pelajar Cemerlang SPM Masih Samar

PETALING JAYA: Mereka adalah antara pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh 9A+ atau lebih, tetapi nasib mereka masih samar.

Mereka tidak pasti sama ada pengajian mereka di peringkat lebih tinggi akan ditaja oleh kerajaan atau sebaliknya.

Alyaa Adibah Idris, 18, yang yang mendapat 9A+ dalam SPM 2015, sangat gembira apabila beliau layak untuk memohon program Bursary pra-universiti tetapi kecewa apabila  mendapati permohonan masih belum dibuka.


"Ia adalah mengecewakan. Saya tidur kurang dari empat jam setiap hari untuk belajar bersungguh-sungguh kerana saya mahu menyambung pengajian ijazah perubatan di luar negara," kata bekas pelajar SMK Seri Puteri ini.

Sejak 2012, pelajar yang mendapat 9A+ dalam SPM layak secara automatik untuk menerima Bursary (bantuan kewangan pengajian) secara automatik untuk mengikuti pengajian peringkat persediaan atau pra-universiti dalam negara.

Mereka kemudian akan ditawarkan biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Bagaimanapun, pautan internet untuk memohon biasiswa itu yang biasanya dibuka melalui laman web kementerian sebaik sahaja keputusan SPM diumumkan masih tidak boleh diakses.

Alyaa mungkin perlu mendapatkan bantuan kewangan dari sumber lain, walaupun masih menyimpan harapan pautan itu akan dibuka tidak lama lagi.

Sarah Tan, 18, yang mendapat 11A+ dalam SPM tahun lepas, akan memeriksa laman web kementerian setiap malam.

Bapanya, Peter Tan, 56, yang memiliki sebuah bengkel kereta berkata kebimbangan anaknya itu membuatkan beliau sering terjaga pada waktu malam.

"Dia adalah seorang anak yang bijak dan mahu menjadi seorang doktor.

"Tetapi tanpa biasiswa, saya tidak fikir impiannya dapat ditunaikan oleh saya.

"Saya ingin melihat beliau kembali dan menyumbang kepada kemajuan negara," katanya.

Pada awal tahun ini, seramai 744 calon SPM 2013 yang menerima Bursary dan sepatutnya dihantar ke luar negara untuk meneruskan pengajian mereka perlu mengikuti kursus pengajian tinggi di institusi awam atau swasta dalam negara.

20 pelajar paling cemerlang bagaimanapun masih boleh meneruskan program Bursary mereka di universiti-universiti terkemuka di luar negara.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai sebahagian daripada pengubahsuaian Bajet 2016.

Seorang lagi pelajar yang terlibat ialah See Pei Woei, 20, yang perlu mengikuti ijazah dalam bidang perubatan di Universiti Monash, Malaysia.

Pei Woei mengakui bahawa adalah sesuatu yang sangat sukar untuk mendapatkan biasiswa dalam bidang perubatan, farmasi atau pergigian dari tempat lain walaupun mendapat semua A, justeru beliau membuat keputusan untuk meneruskan program berkenaan daripada pergi ke luar negara atas perbelanjaan sendiri.

"Saya mahu mencadangkan mereka kurang mampu dari segi kewangan supaya mengambil STPM dan memasuki universiti awam," katanya.

Daripada 440,682 calon SPM tahun lepas, seramai 9,721 (2.38 peratus) mendapat semua A (sama ada A+, A atau A-).

Walau bagaimanapun, tiada angka rasmi didedahkan mengenai bilangan pelajar yang mendapat 9A+ dan ke atas.

Artikel Lain