suria

Ismail Brahim Angkat Sumpah Terima Jawatan Pesuruhjaya Kehakiman

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria (kiri) menerima Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia daripada Ismail Brahim (kanan) yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuching, Rabu.

KUCHING: Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Ismail Brahim pada Rabu mengangkat sumpah menerima jawatan baharunya sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Beliau menerima surat cara pelantikan dan angkat sumpah jawatan dan taat setianya daripada Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pada upacara yang berlangsung di Kompleks Mahkamah Kuching di Petra Jaya di sini.

Ismail, 55, yang berasal dari negeri Perak serta berkelulusan Advance Diploma In Law (ADIL)/LBB Hons dari Institut Teknologi Mara (ITM) sebelum ini memegang jawatan sebagai pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak mulai 15 Dis 2013.

Beliau yang memulakan perkhidmatan kehakiman dan perundanggan sejak tahun 1987 dan telah memegang pelbagai jawatan, antaranya sebagai majistret di Mahkamah Kota Kinabalu pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai pengarah Mahkamah Negeri Sabah, hakim Mahkamah Sesyen Negeri Kota Kinabalu, hakim Mahkamah Sesyen Sandakan, pegawai penyelidikan Mahkamah Sesyen Sandakan, pegawai undang-undang Mahkamah Tinggi Sandakan dan pegawai undang-undang Mahkamah Tinggi Sibu.

Turut hadir pada upacara itu ialah Hakim Mahkamah Kuching dan Kota Kinabalu Datuk Nurchaya Arshad, Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan sri Abu Samah Nordin, Datuk Azhar Mohamad dan Datuk Balia Yusof Wahi.

Sarawak, Sabah, Pesuruhjaya Kehakiman

Artikel Lain