suria

Bertugas Di MKN Tanggungjawab Besar - Alias

Alias Ahmad.

PUTRAJAYA: Menggalas tugas sebagai Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah satu tanggungjawab yang besar, kata Datuk Seri Alias Ahmad.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu dilantik ke jawatan berkenaan bermula Selasa.

Beliau akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa bagi mendapatkan pandangan tentang skop keselamatan negara secara lebih terperinci.

"Hari ini jika kita bercakap tentang keselamatan negara ia sama sekali berbeza dengan lima tahun dahulu. Ancaman luar atau dalaman datang dalam banyak bentuk dan apa sahaja boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas mengetik kad perakam waktu pada pukul 5.12 petang sebagai tanda berakhir tugasannya di KPDNKK, di sini Isnin.

Alias berkata, beliau merancang mengadakan pemukiman serta perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang mengenai keselamatan negara.

Alias merakamkan penghargaannya kepada kira-kira 3,600 warga KPDNKK yang memberikan kerjasama baik kepadanya dalam melaksanakan pelbagai program kementerian itu, terutama ketika pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April tahun lepas.

"Secara keseluruhannya pelaksanaan GST adalah lebih baik, cepat dan efisyen berbanding 169 negara lain yang melaksanakan GST.

"Negara lain mengambil masa yang panjang untuk menstabilkan pelaksanaan GST tetapi kita dapat stabilkan kurang daripada enam bulan...kita lihat kutipan hasil GST dapat disalurkan kembali kepada rakyat," kata Alias.

Menurutnya pada tahun lepas, KPDNKK juga telah melaksanakan 3.5 juta operasi ke atas premis perniagaan di seluruh negara, sekali gus menunjukkan komitmen kementerian untuk memastikan peniaga sentiasa beretika.

Ketua Setiausaha Negara pada Isnin mengumumkan pelantikan Alias, 57, sebagai Setiausaha MKN yang baharu, manakala KSU Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Seri Jamil Salleh pula akan menggantikan Alias di KPDNKK.

Alias memegang jawatan KSU KPDNKK mulai 5 Februari 2014.

Jawatan lain yang pernah disandangnya termasuk ketua pengarah Imigresen; setiausaha bahagian, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Kementerian Dalam Negeri; setiausaha bahagian, Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri; dan setiausaha bahagian, Bahagian Pengurusan Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri. - Bernama

Artikel Lain