suria

Keputusan Kabinet Ke Atas Tun M Langkah Bijak - Dr Subra

Datuk Seri Dr S. Subramaniam
KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet menamatkan perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) adalah langkah bijak kerana beliau tidak lagi menyokong kerajaan.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata keputusan itu dibuat bersandarkan pelantikannya dibuat ketika beliau adalah sebahagian daripada kerajaan dan anggota parti yang memerintah.

"Ia adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk melantik seseorang yang menyokong kerajaan untuk jawatan sedemikian (penasihat syarikat berkaitan kerajaan) dan sebaik anda mula bersekongkol dengan pembangkang, anda telah melepasi sempadan.

"Beliau (Tun M) sudah bekerjasama dengan pembangkang untuk menggugat kerajaan dan sudah tentu kami tidak boleh terus menyokong apa yang dilakukannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Asia Pasifik Kolej Antarabangsa Doktor Pergigian (ICD) dan Pameran Perdagangan 2016 di sini Sabtu.

Kongres tiga hari yang mengumpulkan lebih 20 penceramah antarabangsa serta 600 delegasi dari seluruh dunia, bertujuan memberikan maklumat terkini berhubung kemajuan dalam industri itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya semalam berkata Kabinet sebulat suara bersetuju menamatkan perkhidmatan Dr Mahathir sebagai Penasihat Petronas.
Menurut kenyataan itu, Kabinet berpendapat beliau tidak boleh memegang sebarang jawatan berkaitan dengan kerajaan kerana tidak lagi menyokong kerajaan sedia ada.

"Tindakan ke atas Dr Mahathir tidak dipengaruhi oleh keputusan politik, Petronas adalah satu entiti di bawah kerajaan dan ia bukan lantikan politik," tambah kenyataan itu.

Dr Mahathir dilantik sebagai Penasihat Petronas selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003. Beliau kekal sebagai Pengerusi Proton Holdings Bhd, jawatan yang dipegangnya sejak Jun 2014.

Artikel Lain