suria

Empat Sekeluarga Maut Kemalangan

ROMPIN:  Empat sekeluarga maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain di KM106 Jalan Kuantan-Segamat, malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata dalam kejadian 8.30 malam itu, empat mangsa yang menaiki kereta Proton Exora meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi anggota keluarga berkenaan cedera parah.

Mereka yang terkorban ialah Mohd Zaki Mamat, 47, isterinya Jamilah Hussen, 46, dan dua anak mereka Muhammad Zamil Izuddin, 17, serta Muhammad Zamil Syazwan, 14.

Dua lagi anak Mohd Zaki, Siti Nurjeha, 18, dan Siti Nur Nabilah, 10, cedera parah manakala pemandu kereta Honda Civic, Zulkifli Abdullah, 47, yang terbabit dalam kemalangan itu turut cedera.

"Kemalangan dipercayai berlaku akibat tayar hadapan sebelah kiri Proton Exora itu pecah menyebabkannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta dipandu Zulkifli," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Mohd Zaki yang bekerja sebagai pemandu lori dan keluarganya itu dipercayai dalam perjalanan ke Kelantan dari rumah mereka di Merlimau, Melaka.

Muhammad Aidil Roneh berkata mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Muadzam Shah di sini untuk rawatan lanjut.

"Semua mangsa yang terkorban juga dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. 

Rompin, Segamat

Artikel Berikut

Artikel Lain