suria

Ahmad Zahid Setuju Kerajaan Campur Tangan Urusan Kawal Harga Rumah

Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju kerajaan campur tangan berhubung urusan mengawal harga rumah untuk kebaikan golongan berpendapatan rendah.

"Saya setuju kerajaan campur tangan urusan kawal harga rumah...tidak biarkan dikuasai kuasa pasaran untuk kebaikan golongan berpendapatan rendah," katanya dalam laman Twitter beliau pada Khamis.

Pada Rabu, Ahmad Zahid berkata kerajaan bersetuju meneliti semula Dasar Perumahan Negara terutama berkaitan aspek harga hartanah itu yang dicadang ditentukan kerajaan, bukan semata-mata oleh aktiviti permintaan dan penawaran dalam pasaran.

Ahmad Zahid berkata kerajaan menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan boleh melakukan kawalan harga secara berhemah dengan mengambil kira elemen-elemen tertentu seperti lokasi dan jenis rumah.

Pada Rabu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan turut mengumumkan kementerian itu akan memperkenalkan dua pendekatan baharu dalam membangunkan rumah mampu milik.

Abdul Rahman berkata pendekatan itu akan membolehkan lebih ramai rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki rumah sendiri, selain mengurus secara efektif penawaran dan permintaan rumah jenis itu di pasaran. - BERNAMA

harga rumah, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Berikut

Artikel Lain