suria

Belajar Agama Guna Media Sosial Boleh Terjebak Ajaran Sesat - Mufti

Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad.

ALOR SETAR: Pembelajaran agama daripada sumber tidak sahih melalui media sosial antara punca yang boleh menyebabkan mudah terjebak dengan ajaran sesat, kata Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad.

Beliau berkata kini terdapat banyak kuliah dan maklumat berkaitan agama dimuat naik ke dalam media sosial yang sumbernya tidak dipastikan.

Katanya adalah penting untuk merujuk kepada mereka yang arif tentang agama berhubung sebarang maklumat berkaitan agama Islam di dalam media sosial.

"Kita sedih anak-anak muda ini kerana mereka tidak ada asas agama yang cukup. Apa saja yang benda baharu yang dibawa mereka fikir itu betul sedangkan apapun kita kena rujuk syariat.

"Anak muda sekarang suka ambil sesuatu ajaran agama dari sumber tidak benar. Dalam Facebook (media sosial) ini siapa pun boleh tulis, jadi kesahihan sumber itu sangat diragui," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai kumpulan ajaran sesat Millah Abraham yang dikesan giat merekrut pengikut dengan menyasarkan golongan muda.

Mengambil contoh ajaran sesat Millah Ibrahim, Syeikh Muhamad berkata ajaran itu jelas menyimpang daripada ajaran agama memandangkan antara perkara yang dibawa ialah meninggalkan solat lima waktu.

"Ajaran Millah Ibrahim ini terang-terangan salah. Antara ajaran yang salah ialah mereka tidak perlu kepada solat lima waktu, kononnya apa perlu lagi solat kerana kita berada pada jalan lurus. Sedangkan yang berada di jalan lurus ialah orang-orang beriman kepada Allah, dan al-Quran," katanya.

Antara perkara yang bertentangan dalam ajaran itu ialah mereka mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad SAW, mensyirikkan golongan yang tidak mengikut ajaran mereka, menggabungkan tiga agama (iaitu Islam; Kristian dan Yahudi), memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri, mendakwa kejadian hari kiamat adalah palsu dan meninggalkan solat Jumaat serta solat lima waktu. - BERNAMA

ajaran agama, media sosial, mufti

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain