suria

mStar Online & SuriaFM Lancar APO2016

Majlis pelancaran Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 disempurnakan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai (kiri), Pengerusi Kumpulan Radio Star, Datuk Dr Aminuddin Mohd Rouse (tengah) dan Pengasas D'nars, Faziani Rohban Ahmad. Foto THE STAR

KUALA LUMPUR: Kumpulan Media Star Berhad buat julung kalinya menganjurkan program khas yang dikenali sebagai Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) bagi mengiktiraf penggiat dalam pelbagai industri yang aktif menerusi dunia digital.

APO2016 yang dikendalikan portal berita mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 18 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup.

Majlis pelancaran APO2016 disempurnakan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai di Zebra Square di sini pada petang Khamis.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Radio Star, Datuk Dr Aminuddin Mohd Rouse; Pengasas D'nars, Faziani Rohban Ahmad; Pengarah Perhubunganraya RTM, Rohani Harithuddin dan Pengarang Eksekutif mStar Online, Rozaid A Rahman.

Caliph Buskers.

APO 2016 yang bertemakan Glam Digital dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tempatan seperti Sona One, Indah Ruhaila, Dafi, Bunkface, Caliph Buskers, Awi Rafael, Aliff Aziz, Forteen serta I Am Neeta.

Turut hadir memeriahkan pelancaran APO 2016 ialah jaguh bina badan negara, Sazali Samad; chef selebriti, Zamzani Abdul Wahab atau Chef Zam, ikon fesyen seperti Wak Doyok dan Muhammad Rizki Zaidani atau Ikie Coki.

Usahawan muda yang turut tersenarai dalam pencalonan awal APO 2016 seperti Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia, Bryan Loo, Januar Haikal dari Furby and Sugar dan pengasas Viperbekam, Sharkradzuan turut memeriahkan majlis.

Datuk Seri Wong Chun Wai (kanan) dengan aksi bersahaja bersama ikon fesyen, Muhammad Rizki Zaidani atau Ikie Coki.

Faizdickie yang begitu dikenali di laman sosial dengan pelbagai watak lucu seperti Sarabanon, Kak Leha Bunting dan Nurse Puaka yang membawa semangat #villagepeople turut disenaraikan dalam pencalonan awal APO 2016.

Sementara itu, selain 17 kategori yang akan diperkenalkan, kategori kemuncak akan dikenali dengan nama Selebriti Terunggul APO yang dipilih berdasarkan undian tertinggi menerusi keseluruhan kategori yang dipertandingkan.

Sembilan kategori hiburan yang dipertandingkan melibatkan Aktor Terbaik Pilihan Online, Aktres Terbaik Pilihan Online, Penyanyi Lelaki Terhebat Pilihan Online, Penyanyi Wanita Terhebat Pilihan Online, Lelaki Tampan Pilihan Dnars, Wanita Anggun Pilihan Dnars, Selebriti Komedi Pilihan Online, Grup Pilihan Online dan Penyampai Radio Pilihan Online.

Adibah Noor (kiri) bersama Bila AF2015.

Sementara itu tiga kategori sukan ialah Bintang Sukan Lelaki Pilihan Online, Bintang Sukan Wanita Pilihan Online dan Pasukan Pilihan Online.

Bagi lima kategori lain dalam kategori gaya hidup pula ialah Ikon Fesyen Pilihan Online, Ikon Niaga Muda Pilihan Online, Blog Pilihan Online, Chef Selebriti Pilihan Online dan Selebriti Media Sosial Pilihan Online.

Pemilihan pemenang adalah berdasarkan 70 peratus pengundian secara dalam talian sementara 30 peratus lagi adalah menerusi juri profesional.

Atikah Suhaime.

Selain itu pembaca mStar Online dan pendengar Suria FM boleh terlibat dalam pengundian awal untuk mencari lima pencalonan utama bagi setiap kategori yang dibuka bermula 3 Mac (hari ini) hingga 31 Mac.

Selepas itu proses pengundian lima pencalonan bagi mencari pemenang utama setiap kategori pula dibuka bermula 1 April hingga 27 April depan.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my

Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 juga boleh diikuti di laman Facebook https://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.

mStar Online adalah penerima Anugerah Portal Berita Gaya Hidup dan Hiburan Terbaik Asia 2015 pada Anugerah Media Digital Asia di Hong Kong pada 18 November tahun lalu.

#APO2016, #ApoNi

Artikel Lain