suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tiada Air Pasang Surut Luar Biasa Di Utara - APBN

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) memaklumkan tiada laporan kejadian air pasang surut luar biasa berlaku di pesisir pantai Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pengarahnya Datuk Muhammad Yusoff Wazir berkata setakat ini tiada amaran tsunami diterima melalui Sistem Amaran Awal Tsunami berhampiran pantai barat daya Sumatera. 

"Keadaan dilaporkan masih terkawal berikutan tiada laporan diterima dan kadar air pasang surut berada dalam keadaan biasa di kebanyakan kawasan.

"Bagaimanapun, kita telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya jangan berada berhampiran pantai selepas amaran tsunami dikeluarkan Indonesia malam tadi," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Menurutnya Jabatan Meteorologi Malaysia boleh menerima amaran awal tsunami melalui Sistem Amaran Awal Tsunami sekiranya terdapat gegaran mencapai 8.0 skala Ritcher dari dasar laut.

"Sistem amaran awal tsunami telah dipasang di bangunan berhampiran pantai seperti di masjid, hotel dan sekolah selepas berlaku bencana tsunami pada 2004.

"Sekiranya terdapat tsunami, anggota yang memantau pantai akan memaklumkan kepada bilik gerakan untuk tindakan lanjut," katanya.

Setakat ini, 90 anggota APBN bersama 133 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga susulan gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter di barat daya Sumatera, 1,140 kilometer barat daya Port Dickson, Negeri Sembilan pada pukul 8.49 malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Yusoff berkata APBN juga sentiasa berkomunikasi dengan semua agensi keselamatan untuk menggerakkan operasi menyelamat di seluruh negara jika berlaku bencana akibat gempa bumi.

Menurutnya agensi kerajaan yang terlibat adalah Jabatan Meteorologi Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan Angkatan Tentera Malaysia.-- Bernama 


Artikel Lain

Ziana Zain dapat gelaran Datuk