suria

Krisis Dalaman Pakatan Harapan Makin Parah

Azmin dan Lim bercakaran sesama sendiri berhubung kontroversi penyingkiran dua Adun PKR.

SHAH ALAM: Kurang dua bulan selepas menandatangani kod etika yang bersejarah, Pakatan Harapan berdepan krisis apabila dua pemimpin utama parti itu berperang mulut secara terbuka.

Krisis antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) dilihat semakin parah apabila bercakaran sesama sendiri secara terbuka.

Lim dan Azmin masing-masing mempertahankan pendirian sendiri enggan berganjak dalam kontroversi membabitkan keputusan untuk menggugurkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR daripada jawatan mereka di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pulau Pinang.

Lim mendakwa Azmin campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Pulau Pinang selepas beliau mengumumkan bahawa PKR akan mempertahankan dua Adun yang disingkirkan ketua menteri itu daripada jawatan mereka dalam GLC negeri tersebut.

Pada Rabu, Azmin menjelaskan bahawa beliau membuat pengumuman itu selepas keputusan dibuat PKR dan atas kapasitinya sebagai pemimpin No.2 dalam parti.

"Mengapa pilih saya? Saya menyampaikan keputusan biro politik parti... bukan sebagai Azmin Ali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Shah Alam.

Azmin berkata beliau tidak tahu mengapa Lim menuduh beliau campur tangan walaupun keputusan itu dibuat oleh parti bukan dirinya sendiri.

"Ini telah disahkan oleh (Naib Presiden PKR) Tian Chua," kata Azmin.

Setiausaha Politik Lim, Wong Hon Wai yang bercakap mewakili Lim, menegaskan bahawa tidak wajar Azmin 'campur tangan secara terbuka' dalam hal ehwal pentadbiran negeri lain.

Beliau berkata penyingkiran dua Adun PKR daripada lembaga pengarah GLC di Pulau Pinang adalah sama dengan pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim daripada PKR pada 2014.

"Khalid berkata satu perkara semasa mesyuarat dan bertindak dengan cara yang lain selepas itu. DAP menghormati keputusan PKR memecat Khalid dan tidak mencetuskan perang mulut dengan parti itu.

"Kami perlu konsisten kerana kedua-dua keadaan adalah sama. Tetapi mengapa PKR mengeluarkan kenyataan harian mengenai senario yang sama ini?," katanya dalam satu kenyataan.

Pakatan Harapan menandatangani kod etika yang dikatakan yang pertama seumpamanya di kalangan parti pembangkang pada 9 Januari lalu.

Kod tersebut merangkumi tujuh fasal utama termasuk prinsip dan kaedah membuat keputusan, membina kesatuan politik antara parti, menyelesaikan pertikaian antara parti, membangunkan dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama.

Artikel Sebelum

Artikel Lain