suria

KL Tawar Mat Rempit Kemudahan Litar Lumba Malam

KUALA LUMPUR merancang untuk mewujudkan litar di sekitar bandaraya ini khusus untuk mat rempit berlumba pada waktu malam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, litar lumba malam ini akan menggunakan model hari tanpa kereta yang dilaksanakan di sekitar Kuala Lumpur di mana ada laluan yang ditutup beberapa jam bagi memudahkan pergerakan menggunakan basikal.

Beliau berkata, perbincangan berkaitan cadangan itu telah diadakan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz.

Tengku Adnan berkata, penghadang keselamatan akan ditempatkan di sepanjang laluan yang dikenal pasti untuk litar itu, selain menetapkan masa yang sesuai untuk mat rempit berlumba.

"Bukannya untuk menggalakkan mereka berlumba, tetapi sekurang-kurangnya situasi itu dapat dikawal kerana kita faham berlumba adalah satu-satunya hiburan untuk golongan itu kerana kos kehidupan yang semakin meningkat kini," katanya ketika merasmikan jambatan Taman Metropolitan Batu, Isnin.

Katanya, langkah itu juga bagi mengelak mat rempit terlibat dengan kegiatan lumba haram.

Beliau berkata, ada juga cadangan untuk menjadikan acara lumba di kalangan mat rempit itu sebagai festival dengan menempatkan trak makanan.

Selain itu, kata Tengku Adnan, pihaknya juga merancang untuk menganjurkan bengkel untuk mengajar penunggang motosikal ini membaiki jentera itu, sekaligus membangunkan minat mereka dalam bidang kemahiran itu.

Bagaimanapun katanya, kertas cadangan itu masih di peringkat awal kerana lokasi untuk tujuan mewujudkan litar lumba itu belum dikenal pasti lagi.


litar lumba, Kuala Lumpur, mat rempit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain