suria

KPDNKK Akan Selesai Segera Isu Logo 'Tiada Babi'

Datuk Seri Hamzah Zainuddin
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menyelesaikan isu penggunaan logo 'tiada babi' dan 'tiada daging babi dan lemak babi' secepat mungkin.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kementerian itu akan memberi perhatian memperbetulkan definisi dan penggunaan istilah berkenaan.

"Saya akan pastikan untuk perbaiki dan meletakkan definisi dan penggunaan istilah yang khusus bagi mengelakkan berlakunya sebarang kekeliruan dan syak wasangka," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015 kementerian itu di sini Selasa.

Sementara itu, Hamzah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan dan unit penguatkuasaan yang lain dalam  menjalankan serbuan ke atas premis warga tempatan yang menyerahkan operasi kedai kepada pekerja asing.

"Kita nak tentukan lesen yang telah dikeluarkan digunakan dengan sebaik mungkin. Majikan tempatan dibenarkan mengambil warga asing bekerja di premis mereka tetapi mesti ada permit yang sah.

"Yang jadi masalah ialah apabila mereka mengambil pekerja asing tanpa permit atau tanpa permit yang sah," tegasnya.

Seramai 96 orang menerima APC 2015 yang turut melibatkan tiga agensi di bawah kementerian itu iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad. 

Artikel Lain