suria

Pemandu Maut, Enam Cedera Bas Sekolah Terbabas Dalam Parit

- Gambar hiasan
TAWAU: Seorang pemandu bas sekolah yang diserang sakit jantung, maut selepas bas yang dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Kampung Jawa, di sini pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata dalam kejadian pada 6.10 pagi itu, Abdul Rahman Osman, 52, maut di tempat kejadian.

Enam penumpang, lima daripadanya pelajar sekolah rendah berumur antara 11 dan 12 tahun serta seorang ibu pelajar, mengalami kecederaan, katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

"Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai terkena serangan jantung ketika memandu menyebabkan bas sekolah berkenaan memasuki laluan bertentangan lalu terbabas ke dalam parit," kata Fadil.

Menurutnya semasa kejadian, bas berkenaan membawa pelajar ke Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Jawa dari Batu 4 di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Lain