suria

MPV Terbabas Di Lebuhraya, Wanita Hamil Antara Dua Maut

SEREMBAN: Dua termasuk seorang wanita hamil lapan bulan, maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas di KM 279.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), awal pagi Isnin.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan ASP Zainudin Ahmad berkata dalam kejadian 4.40 pagi itu, dua daripada lapan penumpang Toyota Wish berkenaan cedera parah manakala empat lagi cedera ringan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Suzan Safarina Rosli, 30, berasal dari Bandar Jengka Pahang dan Nadiah Hidayayul Syima Mokhtar, 28, berasal dari Gelang Patah, Johor Baharu, katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Menurut Zainuddin, mangsa yang cedera parah ialah pemandu, Zulfahizzat Mokhtar, 27, dan Maya Mayree Zarul Hidayat, 2 tahun.

"Mangsa yang cedera ringan ialah Zarul Hidayat Mokhtar, 32, Mohd Izwan Amir Hamzah, 31, Faudziah Mohd Ali, 59, Fairel Zhafran Mohd Izwan, 12 tahun," katanya.

Zainudin berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat pemandu hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu, sebelum terbabas dan terbalik ke bahu kiri lebuh raya.

"Kenderaan itu sedang dalam perjalanan dari arah Johor menghala ke Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, Suzan Safarina dan Nadiah Hidayayul Syima meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban, dekat sini.

"Kesemua mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam dan ambulans," katanya menambah kandungan Suzan Safarina tidak dapat diselamatkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Lain