suria

Ahmad Bashah Seorang Yang Berterus Terang...

ORANG kata Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah seorang yang kasual, tidak ada protokol dan tidak ada jurang. Pertemuan kami dengannya selama hampir dua jam di rumahnya di Alor Setar baru-baru ini mengesahkan kata-kata itu.

Ruang tamu rumahnya juga kelihatan 'simple' malah boleh dikatakan kecil untuk statusnya sekarang sebagai seorang MB. Kami segera bertanya, bila dijangka berpindah ke kediaman rasmi MB iaitu Seri Mentalun.

Ahmad Bashah tersenyum kecil sambil berkata dalam loghat Kedah yang pekat; "Mungkin ke sana untuk majlis-majlis rasmi saja kot...nak tidoq rasanya tak kot...depa kata rumah tu keras sikit."

Kami semua turut ketawa dengan gurauannya itu.

Menurut Ahmad Bashah, tidak ada menteri besar yang menetap di kediaman rasmi MB yang dinamakan Seri Mentalun itu. Kami bertanya; "Eh Datuk Seri...berhantu ke."

Beliau tidak menjawab tetapi sekadar melemparkan senyuman sahaja. Dalam ertikata yang lain, faham-faham sendiri sajalah.

Walaupun kediaman lamanya serba sederhana tetapi Ahmad Bashah menyifatkannya sebagai memadai untuk dirinya, isterinya dan empat orang anaknya.

"Dari dulu saya duduk di sini. Tak jadi masalah...senang orang nak cari saya di sini. Semua orang tahu di mana saya tinggal," kata menteri besar Kedah yang ke-12 itu.

Dan bercakap tentang dirinya, Ahmad Bashah menambah; "Saya datang dari bawah, dari kampung. Saya dilahirkan pada tahun 1950 jadi bila negara merdeka pada tahun 1957, saya baru darjah satu.

"Kampung saya terletak 20 batu dari bandar Alor Setar. Jadi masa dahulu itu sudah dikira sangat jauh. Bayangkan masa sekolah saya yang berasal dari keluarga yang miskin (bapanya adalah seorang penjual sekerap getah) pagi-pagi saya perlu menjual kuih muih di kedai-kedai di kampung...itu yang mengajar saya tentang ketabahan dan kehidupan...ya lah miskin...jadi itulah perjalanan hidup saya."

Oleh yang demikian, katanya, pengalaman masa kecil yang susah dan miskin telah memberi kekuatan kepadanya untuk mengharungi sepak terajang politik sepanjang kerjayanya sebagai ahli politik dan selepas itu wakil rakyat.

"Saya selalu berpesan kepada diri saya sendiri, saya harus tengok diri dan pembawakan saya supaya tak lupa daratan dari apa yang telah saya lalui...walaupun ada perubahan jawatan ini...Insya Allah saya tak lupa dari mana saya berasal," jelas beliau sambil menambah, "Kita tahu susah orang lain sebab kita pun berasal dari kalangan orang susah."

Menurut Ahmad Bashah, jawatan tidak pernah mempengaruhi gaya kehidupan sehariannya kerana beliau adalah seorang yang tidak cerewet.

"Saya jenis yang tidak kisah...makan pun saya tak cerewet...kadang-kadang saya cakap kat isteri, goreng mai telur sebiji pun tak pa dah...saya tak kisah...kalau ada ikan masin saja lagi saya suka, jadi bab makan ni saya senang la..tak cerewet," katanya sambil ketawa.

Ahmad Bashah yang kini berusia 66 tahun menjelaskan, bukan sahaja dia seorang yang sederhana dan tidak cerewet, malah dapat menerima apa juga cercaan dan kata-kata yang tidak sedap didengar terhadap dirinya apatah lagi sejak isu pelantikannya sebagai menteri besar mendapat perhatian umum khususnya mengenai latar belakang pendidikannya.

"Tidakkah Datuk Seri rasa terguris dengan segala kata-kata tersebut?" tanya kami.

Penulis ketika bertandang ke rumah menteri besar baharu Kedah itu.


"Tak...sedikit pun tidak. Selepas lebih 40 tahun melibatkan diri dalam politik, telinga saya sudah biasa dengan cemuhan dan kata-kata menghina. Ya lah, saya tak sanggup menipu diri saya sendiri. Kalau saya nakkan ijazah...ada orang datang tawarkan cara mudah untuk dapatkan ijazah selepas saya dilantik sebagai timbalan menteri.

"Tapi takkan saya nak tipu diri saya sendiri...saya dengar zaman sekarang ramai juga yang beli ijazah tapi tak perlulah sebab tuhan tahu. Kalau dengan usia saya yang macam ni tak perlu...saya kata kepada anak-anak, pengalaman sepanjang karier ini adalah ijazah saya.

"Pengalaman suka duka jadi pengerusi dan timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, setiausaha, bendahari, ketua pemuda, ketua bahagian semua itu membina diri saya sebagai seorang manusia dan juga sebagai seorang yang berpengalaman.

"Jadi itu semua pengalaman yang boleh membantu saya...tak perlu la saya nak tipu diri saya kerana itu juga bukanlah budaya dalam keluarga saya," kata Ahmad Bashah.

Menurut Ahmad Bashah, walaupun dirinya tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi kesemua empat anaknya adalah graduan.

"Tak apalah saya sendiri sedikit pun tak terasa apa-apa...saya tak kisah malah saya memaafkan semua yang mengutuk dan menghina diri saya sebelum ini. Dalam politik macam org tua-tua katalah, kalau berumah tepi laut tak kena ombak tidak sah lah."

Dan selepas lebih sejam temuramah kami dengannya berlangsung, tiba-tiba muncul ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu yang juga exco kerajaan negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor di hadapan pintu rumah Ahmad Bashah.

Norsabrina adalah salah seorang penyokong kuat bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan juga salah seorang exco yang enggan menandatangani surat mendesak perletakan jawatan Mukhriz.

Jadi kehadirannya di kediaman Ahmad Bashah menimbulkan seribu tanda tanya kepada kami semua.

Ahmad Bashah turut ditanya soalan berhubung beliau sering tertidur ketika di dalam majlis atau acara-acara tertentu dan jawabnya; "Pejam mata tidak bermakna kita tidur. Ketika kita membaca doa pun kita pejam mata. Malah di dalam parlimen sekali pun saya pernah melihat ahli parlimen menutup mata. Ia adalah perkara biasa tapi bila seseorang itu memejam mata mungkin itu membantu dia nak mendengar dengan lebih kusyuk.

"Tapi perbuatan hendak mengutuk atau memalukan orang lain dengan menonjolkan insiden seperti itu tak sepatutnya berlakulah...carilah yang elok-elok bukan yang tidak elok...bukan menggunakan kamera canggih untuk merakamkan ketika saya pejam mata untuk tunjuk seolah-olah saya sedang tidur," katanya merujuk kepada insiden beliau dikatakan terlelap ketika majlis mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 4 Februari lalu berlangsung.

Bagaimanapun jelas Ahmad Bashah, beliau tidak pernah simpan perasaan marah atau benci terhadap mereka yang menghinanya.

Sebaliknya beliau menyifatkan dirinya sebagai seorang yang kuat menyimpan rahsia.

"Jika orang itu datang bertemu saya untuk menceritakan masalah yang dia hadapai, dia tahu, apabila dia keluar dari pintu rumah atau pejabat saya, rahsianya tetap selamat bersama saya kerana saya mempunyai prinsip tidak menceritakan perihal orang lain kepada sesiapa.

"Maknanya, apa yang seseorang itu ceritakan kepada saya, akan mati bersama saya. Mungkin atas sebab itu jugalah saya sering diberi kepercayaan dan amanah untuk memegang jawatan-jawatan tertentu termasuklah sebagai bendahari Umno negeri dan sebagainya," ujar Ahmad Bashah.

Jelas Ahmad Bashah lagi, beliau juga tidak suka kepada protokol dan ketika ditanya apakah yang dapat ditawarkannya kepada rakyat Kedah, beliau menjawab; "Saya bekerja tujuh hari seminggu...saya tidak ada masalah untuk bekerja tanpa henti demi rakyat negeri ini. Malah pintu rumah saya juga terbuka kepada orang ramai."

Ditanya apakah pergolakan politik dalaman Umno sehingga membawa perubahan kepada pucuk pimpinan negeri akan memberi kesan kepada undi rakyat, Ahmad Bashah menegaskan, pada awal perubahan ini mungkin ada pihak merasakan mereka terlalu dekat dengan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan juga merasakan baru dua tahun setengah beliau memimpin Kedah.

Dan golongan ini katanya ada banyak, iaitu golongan remaja, golongan yang sudah agak dewasa dan orang lama.

"Pada pandangan saya di peringkat awal ini mungkin ada tentangan sedikit.. ya lah orang muda ni selalu kita sebut beremosi dan sebagainya tapi yang penting sekali kita harus berdamping dengan mereka. Kita tak boleh tinggalkan kalau ada orang yang merasakan tidak boleh terima dengan perubahan ini sebaliknya kita kena beri penjelasan.

"Sebab itu saya kata dalam tempoh masa paling singkat ini, kita kena turun ke bawah jumpa seramai mungkin rakyat jelata dan bagi penjelasan supaya mereka memahami dan bila mereka tanya mengenai perubahan ini, kita kena jelaskan kenapa dan mengapa ia dilakukan," jelas Ahmad Bashah yang yakin apabila mereka faham mengapa perubahan ini berlaku mereka akan dapat menerimanya.

Menurut beliau, dalam politik, perubahan kepada sesuatu jawatan adalah perkara biasa.

"Dulu 22 wakil rakyat BN pertahankan Tan Sri Osman Aroff untuk terus kekal sebagai Menteri Besar termasuklah saya...tapi akhirnya PM tukar juga bagi kepada Tan Sri Sanusi Junid...bila pucuk pimpinan memutuskan sesuatu tindakan, akhirnya kita perlu akur," tegas beliau.

Yang penting, katanya, selepas perubahan itu dilakukan rakyat hendak tengok apa yang orang baru ini hendak lakukan.

Dalam konteks ini, katanya, beliau akan merapatkan balik rakyat dengan pemimpin dalam satu pasukan sebab kalau parti hendak menjayakan apa juga misi dan visi mereka mesti terlebih dahulu mendapat sokongan daripada semua kumpulan tidak kira parti atau pun rakyat.

Yang kedua, katanya, adalah penting semua jentera kerajaan negeri dan juga persekutuan bergerak sebagai satu pasukan bersama dalam melaksanakan apa juga dasar yang telah diputuskan.

"Dalam tempoh tidak jauh kita akan hadapi Pilihan Raya Umum (PRU). Jadi, kita kena tengok semula janji-janji yang telah kita lafazkan sewaktu PRU yang lalu...bila kita janji kita kena tunaikan...oleh yang demikian adalah penting kita tengok kembali janhi-janji dalam manifesto kita telah dilaksanakan atau tidak..

"Mungkin wakil rakyat ada buat janji dengan pengundi dalam kawasannya...kini menjadi tugas saya untuk buat sesuatu dan memastikan janji-janji itu ditunaikan sebaik mungkin...kalau tidak orang kata janji sajalah...ni PRU nak datang semula nak janji apa pulak...jadi janji ni kena laksanakan sebelum rakyat marah kepada kita," tegas Ahmad Bashah dengan sekali lagi wajah yang tersenyum.

Kedah, Alor Setar, Menteri Besar

Artikel Lain