suria

Kerajaan Lulus RM27.5 Juta Atasi Banjir, Hakisan Pantai Di Terengganu

Menteri Sember Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kanan) bertanya sesuatu mengenai pelan Cadangan Pemulihan dan Naiktaraf Sungai Cepuh kepada Pengarah Jabatan Pengairan & Saliran Negeri Terengganu, Ir C. Poobalan (dua, kiri) sewaktu menghadiri taklimat tebatan banjir di Kampung Nibong, Ahad. Turut hadir Anggota Parlimen Hulu Terengganu yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari (kiri).

HULU TERENGGANU: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM27.5 juta kepada Terengganu tahun ini bagi melaksanakan projek mengatasi masalah banjir dan hakisan pantai yang membelenggu penduduk negeri ini saban tahun.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata daripada peruntukan itu, RM15 juta bagi projek membesarkan Sungai Cepuh di Kuala Telemung dekat sini yang sering dilanda banjir ketika musim tengkujuh.

"Daripada peruntukan itu, kerajaan juga mengagihkan RM500,000 untuk projek pembesaran sungai di Kampung Pengkalan Ajal, projek mencegah hakisan pantai di Kampung Tanjung Gelam, Kuala Nerus, Lagun Setiu dan Gong Batu di Setiu yang akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melihat lakaran awal projek membesarkan Sungai Cepuh di Kampung Nibung, dekat sini, Ahad, bersempena lawatan kerja dua hari beliau ke Terengganu.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Telemung, Datuk Rozi Mamat.

Dr Wan Junaidi berkata bagi projek pembesaran Sungai Cepuh, ia akan dilaksanakan selewat-lewatnya Mei ini dan projek dijangka siap dalam masa dua tahun.

Katanya pihak kementerian akan melakukan pemantauan bagi memastikan projek berjalan lancar.

Beliau berkata walaupun menerusi Pengubahsuaian Bajet 2016, kerajaan memotong bajet kementerian sebanyak RM60 juta, namun projek-projek yang telah dirancang untuk negeri Terengganu akan tetap diteruskan.

"Selepas pengumumun itu (Pengubahsuaian Bajet) saya telah menstruktur semula semua perbelanjaan kementerian untuk setiap negeri... selepas distruktur semula, saya membuat keputusan mana-mana negeri yang memerlukan perhatian perlu diberikan peruntukan segera bagi meneruskan projek-projek yang dirancang (termasuk Terengganu)," katanya.-- Bernama

Artikel Lain