suria

Daftar Pati: Majikan Tanggung Kos Minimum RM1,200 Seorang

PETALING JAYA: Kos minimum yang ditanggung majikan menerusi program penggajian dan penempatan semula pendatang asing tanpa izin (Pati) yang akan dilaksanakan secara dalam talian Isnin ini melibatkan caj sebanyak RM1,200 bagi setiap warga asing tidak sah.

Kadar itu hanya melibatkan proses pendaftaran dan perkhidmatan tetapi tidak termasuk bayaran kompaun atas kesalahan imigresen, levi, visa, yuran pemprosesan dan permit pekerja asing.

Bagaimanapun, jika dihitung keseluruhan kos yang perlu dibiayai majikan untuk setiap Pati adalah dianggarkan antara RM1,395 dan RM3,485. Dianggarkan kira-kira dua juta pekerja asing tidak mempunyai dokumen sah.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi yang mengesahkan perkara itu berkata, caj sebanyak RM1,200 itu meliputi caj pendaftaran sebanyak RM800 dan caj perkhidmatan RM400.

“Ini adalah Pekeliling Jabatan Imigresen atas arahan KDN. Caj-caj ini tidak dikenakan oleh Jabatan Imigresen tetapi ditetapkan vendor-vendor yang dilantik,” katanya kepada mStar Online pada Ahad.

Datuk Sakib Kusmi.

Penetapan caj RM1,200 itu terkandung dalam Pekeliling Jabatan Imigresen berdasarkan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertarikh 12 Februari 2016.

Menurut dokumen itu, kadar yang ditetapkan itu adalah caj yang dibenarkan kementerian untuk dikenakan vendor kepada majikan bagi proses mendaftarkan Pati sebagai pekerja yang sah.

Kedua-dua caj ini dikenakan oleh tiga pihak yang dilantik KDN melibatkan dua syarikat, masing-masing mengendalikan Pati dari Myanmar dan Indonesia, manakala pengurusan Pati dari negara-negara lain dikendalikan oleh sebuah konsortium merangkumi tiga syarikat.

Bagaimanapun caj yang dikenakan itu tidak termasuk kadar kompaun atas kesalahan imigresen, levi, visa, fi pemprosesan dan permit pekerja asing.

Menurut pekeliling itu lagi, caj perkhidmatan RM400 itu hanya dikenakan selepas Pati berkenaan layak untuk didaftarkan sebagai pekerja asing yang sah.

Difahamkan, Pati yang gagal dalam permohonan, antaranya disebabkan faktor kesalahan jenayah akan dihantar pulang ke negara asal di mana caj dikenakan sebanyak RM400 menerusi ‘program 3+1’ iaitu RM300 untuk kompaun dan RM100 bagi pas khas. Urusan penghantaran pulang ini akan dikendalikan oleh vendor yang berkenaan.

Bagi mereka yang layak, caj perkhidmatan RM400 itu dikenakan oleh vendor bagi kos khidmat menguruskan hal berkaitan levi, visa termasuk permit.

Laman web Program penggajian dan penempatan semula pendatang asing tanpa izin (Pati).

Kos yang dikenakan oleh Jabatan Imigresen ialah levi, buat masa ini mengikut kadar baharu berdasarkan penstrukturan semula – kategori pertama melibatkan pekerja sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan sebanyak RM2,500, dan kategori kedua pula melibatkan pekerja sektor perladangan dan pertanian dengan RM1,500 seorang, manakala kadar levi untuk pembantu rumah dikekalkan RM410.

Bagaimanapun, kadar baharu levi selepas penstrukturan semula ini ditangguhkan sehingga 20 Februari bagi membolehkan kerajaan berbincang dengan  dewan perniagaan, persatuan industri dan badan bukan kerajaan terlibat berikutan mendapat bantahan daripada pelbagai pihak.

Selain itu, Jabatan Imigresen turut mengenakan caj bagi pengeluaran permit meliputi visa di mana kadarnya berasingan mengikut negara, permit (RM60) dan yuran pemprosesan sebanyak RM125. 

Difahamkan, bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Imigresen seperti tinggal lebih masa, kompaun akan dikenakan kepada Pati dan majikan, masing-masing sebanyak RM300 dan RM500. 

Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati akan dilaksanakan bermula 15 Februari hingga 31 Disember secara dalam talian.

Menurut kenyataan KDN pada Sabtu, program tersebut bertujuan memberi peluang kepada Pati yang bekerja secara haram di negara ini diberikan permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan, akan dipantau ketat.

Permohonan bagi program penggajian dan penempatan semula Pati boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal www.rehiring.imi.gov.my, dan syarat-syarat terperinci program tersebut boleh diperoleh di laman web sama.

Artikel Lain