suria

Lebih 80 Peratus Kemalangan Kerana Kesilapan Manusia - Tiong Lai

Tan Sri Michelle Yeoh, Datuk Seri Jean Todt dan Datuk Seri Liow Tiong Lai memperkatakan mengenai keselamatan jalan raya kepada Farhah Fadzly 7, dan Anas Fadzly 5 ketika majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Safe Steps.

KUALA LUMPUR: Lebih 80 peratus daripada kemalangan jalan raya di negara ini berpunca daripada kesilapan manusia, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan hanya 19.4 peratus daripada kemalangan berpunca daripada keadaan jalan raya dan kenderaan.

Tiong Lai menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang membimbangkan, terutama apabila manusia terus bersikap cuai.

"Memandu secara berbahaya, terlalu laju, tidak memberi tumpuan, memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol dan memandu dalam keadaan letih merupakan punca utama yang mengundang bahaya kepada seseorang serta pengguna kenderaan lain di jalan raya," katanya pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Safe Steps 2016 di sini, Sabtu.

Beliau berkata, walaupun kerajaan dan agensinya melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan kempen keselamatan jalan raya, jumlah kemalangan terus meningkat.
 
Sebagai contoh, kata beliau, sebanyak 489,606 kes kemalangan jalan raya dicatat pada 2015 berbanding 476,196 pada tahun sebelumnya.Tiong Lai berkata, kadar kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat kepada 6,706 pada 2015 atau purata 18 kematian setiap hari.

Sejak 10 tahun lepas, pengguna motosikal merupakan mangsa paling ramai dan melibatkan 39,744 kematian.

Malaysia adalah negara anggota Asean pertama yang melancarkan kempen Safe Steps.

Kempen ini adalah anjuran bersama Prudential Corporation Asia, Federation International de l'Automobile (FIA) dan National Geographic Channel. 

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah pengerusi Prudence Foundation Donald Kanak, Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Keselamatan Jalan Raya dan presiden FIA Datuk Jean Todt dan Duta Keselamatan Jalan Raya Safe Steps, Tan Sri Michelle Yeoh.

Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak tentang punca utama kematian di dunia dan untuk menyampaikan maklumat secara jelas dan mudah mengenai usaha menyelamat nyawa melalui penyebaran mesej pendidikan mengenai keselamatan jalan raya.

Mesej pendidikan itu akan disiarkan melalui 17 saluran FOX Networks Group Asia mulai hari ini dan disediakan dalam sembilan bahasa, termasuk bahasa Indonesia, bahasa Malaysia, bahasa Burma dan Kantonis.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain