suria

Kanak-Kanak 8 Tahun Juara Little Huffaz, Bawa Pulang RM6,000

BALING: Peserta cilik, Nurul Iman Kamila Norhisyam merebut gelaran juara hafazan cilik Little Huffaz menewaskan 10 finalis lain dalam pertandingan yang diadakan di Kompleks Rakan Muda di sini pada pagi Sabtu.

Kemenangan itu membuatkan Nurul Iman, 8, membawa pulang wang tunai berjumlah RM6,000.

“Alhamdulillah syukur atas kemenangan ini. Tak sangka usaha selama setahun fokus dalam hafazan berbaloi.

“Mak dan ayah juga banyak bantu, mereka sering pesan untuk tidak tinggalkan solat selain beri sokongan,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Pada acara itu, peserta Muhammad Aminuddin Mohd Basir, 9, mendapat tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM4,000, manakala tempat ketiga dimenangi Muhammad Uzair Ahmad Bakri, 9 yang membawa pulang RM2,000.


Tujuh finalis lain ialah Muhammad Amiruddin Mohd. Basir, 9; Nurisya Khyra Zamzuri, 9; Muhammad  Abdullah Amri, 8; Muhammad Syameel Irfan Sable, 9; Nurisya Qistina Mohd Zahir, 6; Farah Insyirah Khairul Faizi, 8 dan Muhammad Afiq Haikal Norazizi , 9.

Sementara itu, penganjur pertandingan itu yang juga  Pengarah Urusan Raffelina Sdn Bhd, Muhammad Rafi’e Ramli berkata, Little Huffaz diadakan bagi memberi peluang kepada peserta menunjukkan kehebatan masing-masing dalam menghafaz al-Quran.

“Saya lihat ramai anak cilik berpotensi tinggi dan walaupun masih kecil, mereka mampu menghafal surah al-Quran dengan baik.

“Ini baru permulaan. Pihak kami akan menganjurkan Little Huffaz di zon selatan serta timur selepas ini, sebelum melangkah ke acara di peringkat kebangsaan,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga masih mencari stesen televisyen yang berminat untuk bekerjasama dalam penganjuran program berkenaan.

Pertandingan itu diadili lima juri bertauliah. Turut hadir bekas pensyarah Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Syeikh Dr. Khalee Hafizullah dari Iraq. 

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid Far East dan kemunculan duta produk Caliph Kids, Mia Sara. 

Penganjuran Little Huffaz turut melibatkan Caliph Kids dan Feryal dengan kerjasama Nadi Cinta Resources. 



Artikel Sebelum

Artikel Lain