suria

Majlis Halal Malaysia Kemudi Industri Halal Negara

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Pembangunan dan Pengurusan Industri Halal Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Khamis. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Kabinet Pengurusan dan Pembangunan Industri Halal Malaysia dibubarkan mulai Khamis dan digantikan dengan Majlis Halal Malaysia (MHM).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara itu berkata melalui MHM, pembahagian tugas mengenai perkembangan industri halal akan dibahagikan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Industry Development Corp (HDC).

"Jakim akan menumpukan terhadap proses pensijilan, tadbir urus serta perkara berkaitan Syariah manakala HDC akan memberi fokus terhadap memperkembang industri halal dan mengantarabangsakan industri itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir jawatankuasa kabinet itu di sini, Khamis.

Ahmad Zahid berkata, badan dan agensi lain di pelbagai kementerian, akan disatukan di bawah MHM, yang dijangkakan mampu memberi keberhasilan yang tinggi kepada industri tersebut.

"Negara kita telah lama memulakan pensijilan halal dan harus diambil beberapa langkah proaktif dalam menjadikan Malaysia sebagai negara yang sentiasa berada dibarisan hadapan dalam pengeluaran produk halal," katanya.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa pengeluaran produk halal tidak harus tertumpu hanya kepada bahan makanan sahaja malah dikembangkan dalam bidang farmaseutikal, pelancongan, perkhidmatan serta perbankan dan insurans.

Untuk itu katanya satu akta khusus mengenai MHM akan disediakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan Jakim.

Pembentangan akta itu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan dilakukan selepas Jabatan Peguam Negara memuktamadkan akta itu yang akan diserahkan  oleh Jakim dan Miti selepas kelulusan Kabinet, katanya.

Mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Induk Majlis Perundingan Islam (MPI) hari ini, Ahmad Zahid berkata mesyuarat bersetuju menubuhkan tujuh kluster yang akan dipengerusikan tokoh tertentu dalam mencari persamaan dalam pelbagai isu terutama berkaitan agama Islam.

"Setiap kluster akan melakukan percambahan fikiran dan perbincangan perbezaan yang wujud sesama mereka, dan kesemua tujuh kluster tersebut akan berjumpa semula enam bulan dari sekarang bagi mencari titik persamaan dan persetujuan," katanya.

MPI dianggotai tokoh daripada pelbagai latar belakang seperti tokoh agama,  akademik, korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan, berperanan sebagai kumpulan pemikir bagi memberikan idea dan cadangan kepada kerajaan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut hukum Syarak.

Mesyuarat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dipengerusikan Ahmad Zahid, turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain