suria

Najib Hadir Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN Di Sunnylands

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja tujuh hari ke Los Angeles, Sunnylands dan San Francisco di Amerika Syarikat (AS) mulai Khamis hingga 17 Februari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataannya pada Rabu berkata Najib dijadual menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN di Sunnylands, California, pada Isnin dan Selasa (15 dan 16 Februari).

Perdana menteri juga dijadual menemui diaspora dan penuntut Malaysia di Los Angeles.

Beliau turut dijadual mengadakan mesyuarat meja bulat dengan pengurus dana, menemui pemimpin industri serta melawat Apple Inc. dan TESLA Motors di San Francisco.

Semasa lawatan itu, Najib akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan para pegawai kerajaan.

Menurut kenyataan itu, Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN diadakan untuk memperingati peningkatan taraf hubungan dialog AS-ASEAN kepada perkongsian strategik.

Ia juga menjadi pentas ideal untuk para pemimpin ASEAN dan Amerika Syarikat melibatkan diri dalam pertukaran formal dan tidak formal, terutamanya berhubung kerjasama ASEAN-AS serta isu-isu serantau dan antarabangsa.

Aturcara sidang kemuncak itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu mempromosikan Komuniti Ekonomi ASEAN yang inovatif dan berciri keusahawanan serta melindungi keamanan, kemakmuran dan keselamatan di rantau Asia Pasifik.

Para pemimpin ASEAN dan AS dijangka mengeluarkan dokumen yang menekankan tentang prinsip-prinsip yang dipersetujui kedua-dua pihak ke arah menjuruskan hubungan dialog itu kepada perkongsian strategik yang baharu.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-AS ketiga di Kuala Lumpur pada November tahun lepas, Presiden AS Barack Obama mengundang semua pemimpin ASEAN menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN itu di negaranya.

Malaysia dan Amerika Syarikat terus menikmati hubungan dua hala yang erat dan mesra dalam bidang-bidang utama termasuk politik, ekonomi, pertahanan dan keselamatan.

Jumlah perdagangan dua hala bagi tempoh Januari hingga November tahun lepas bernilai US$30.24 bilion, yang meningkat 10.6 peratus daripada tempoh sama pada  2014 dengan eksport bernilai US$17.20 bilion dan import bernilai US$13.04 bilion.

Amerika Syarikat ialah rakan perdagangan yang keempat terbesar bagi Malaysia pada 2014. - BERNAMA


Artikel Lain