suria

5,533 Mangsa Banjir Masih Di Pusat Pemindahan Di Sarawak

Air sungai mengalir deras ketika tinjauan fotoBernama di Kampung Batu Kitang Jaya pada Rabu. - fotoBERNAMA

KUCHING: Sejumlah 5,533 mangsa banjir daripada 1,484 keluarga masih berada di pusat pemindahan di Sarawak setakat 4 petang Rabu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pertahanan Awam Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata jumlah berkenaan kurang 155 orang daripada 40 keluarga berbanding jumlah tengah hari Rabu.

"Mangsa ditempatkan di 27 pusat pemindahan - 20 di Daerah Kuching, Bau (5) dan Serian (2)," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sarawak Datuk Dr Zulkifli Jantan berkata tempoh banjir yang singkat disusuli penjagaan kebersihan yang baik di pusat-pusat pemindahan banjir di Sarawak menjadikan jangkitan penyakit bawaan air akibat bencana itu terhindar.

Justeru, katanya, penghargaan harus diberi kepada agensi-agensi terbabit dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah yang berjaya mewujudkan persekitaran baik dan sihat kepada mangsa.

Beliau berkata petugas Jabatan Kesihatan turut menganggotai jawatankuasa pengurusan banjir itu, yang bukan sahaja berfungsi memantau kesihatan penghuni pusat-pusat pemindahan, malah turut berusaha memastikan pusat-pusat itu benar-benar bersih dan selamat untuk dihuni.

Katanya dalam beberapa kejadian banjir di Sarawak sebelum ini, kebanyakan mangsa akan berlindung di pusat-pusat pemindahan dalam tempoh dua atau tiga hari sahaja, dan dalam tempoh yang singkat itu segala aspek kebersihan dan keselamatan mereka dipelihara oleh agensi-agensi terlibat.

Dr Zulkifli, bagaimanapun tetap mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berwaspada dan meningkatkan tahap penjagaan kesihatan serta keselamatan semasa berdepan kejadian banjir itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Persidangan Antarabangsa Penjagaan Kesihatan Ibu dan Anak 2016 (ICMCH) di ibu pejabat Jabatan Kesihatan Sarawak di sini Rabu.

Banjir yang melanda sekitar bahagian Kuching dan Serian sejak beberapa hari lepas, mengakibatkan 5,533 orang daripada 1,484 keluarga ditempatkan di 27 pusat pemindahan banjir, sehingga 4 petang Rabu.

Mengenai ICMCH, beliau berkata persidangan anjuran Persatuan Bidan-bidan Sarawak cawangan Sibu dengan kerjasama SEGi University dan Kolej Kejururawatan Sibu itu, bakal berlangsung di Hotel Kingwood, Sibu, di bahagian tengah Sarawak, pada 3 dan 4 Mac.

Persidangan itu akan menampilkan 21 penceramah, termasuk enam dari luar negara yang akan mengetengahkan isu-isu berkaitan penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak.

Orang ramai digalak menyertai program bermanfaat itu, dan mereka yang berminat boleh melayari laman web ICMCH di www.icmch.sarawakmidwives.org.my/icmch untuk maklumat lanjut. - BERNAMA

banjir Sarawak

Artikel Lain