suria

Awasi Kanak-Kanak Pakai Kasut Getah Ketika Guna Eskalator

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA: Pemakaian sandal atau kasut getah yang lembut oleh kanak-kanak perlu diberi perhatian dan diawasi oleh penjaga kerana ia lebih mudah ditarik atau tersangkut pada eskalator yang sedang bergerak.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kenyataan pada Rabu menegaskan bahawa tanggungjawab bagi memastikan keselamatan ketika menggunakan eskalator terletak pada pemunya dan pengguna.

"Tanggungjawab pihak pemunya adalah sentiasa memastikan setiap eskalator yang dipasang di premis mereka disenggara mengikut jadual penyenggaraan yang ditetapkan oleh pembuat," katanya.

Tanggungjawab pengguna pula memerlukan mereka lebih berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan eskalator termasuk memastikan dan mengawasi anak-anak yang dibawa bersama, katanya.

Ini termasuk memastikan kaki berada dalam garisan yang ditetapkan (yellow demarcation line) serta mematuhi setiap arahan dan tatacara penggunaan yang disediakan oleh pihak pemunya.

"Sekiranya semua langkah ini dipraktiskan oleh pemunya dan pengguna, kemalangan boleh dielakkan," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan susulan kes kemalangan eskalator di KL Sentral pada 8 Februari lalu, melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun.

JKKP memandang serius insiden tersebut, tambah kenyataan itu.

Jabatan itu sebelum ini menerima laporan 31 kes kemalangan melibatkan eskalator dari 2011 sehingga Mei 2015. - BERNAMA 


kasut getah, eskalator

Artikel Lain