PETALING JAYA: Selepas hampir seminggu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah, ketua kerajaan negeri yang baharu dilantik itu dilihat berhadapan protes di kalangan ahli Barisan Nasional (BN).
Terbaharu bendera BN dengan lambang dacing dikesan sengaja digantung dalam keadaan terbalik di beberapa lokasi tertentu di Kedah.
Antara gambar yang menjadi viral dan dimuat naik oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama 'Fharid Bin Ismail' menunjukkan bendera terbalik itu digantung di Kuala Kedah.
Turut dimuat naik ialah gambar baju kemeja-T biru yang biasanya dipakai oleh jentera BN tetapi kali ini ia digantung secara terbalik.
Bahagian tengah baju berkenaan turut diconteng dengan tulisan 'kalih' dalam loghat utara yang bermaksud 'tukar'.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Salmiah Omar menulis pada ruangan komen "Memang akan kalih (tukar) sampai terbeghalih (beralih)...bai2 dacing".
Pada 4 Februari lalu, Ahmad Bashah yang juga Adun Bakar Bata akhirnya mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Mukhriz.
Ia susulan pengumuman Mukhriz meletak jawatan kerana menurutnya telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.


