suria

Komen Rafidah Mengenai Kesetiaan Parti 'Aneh' - Rahman Dahlan

Abdul Rahman Dahlan.

PETALING JAYA: Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan komen Tan Sri Rafidah Aziz mengenai kesetiaan parti sebagai 'aneh' berdasarlam tindakannya ketika pernah menjadi Ketua Wanita Umno.

Rafidah yang merupakan bekas menteri Kabinet dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, kesetiaan seharusnya ditujukan kepada negara dan parti bukan individu.

Mengulas mengenai kenyataan Rafidah itu, Abdul Rahman berkata, beliau melihat komen Rafidah adalah aneh kerana beliau sendiri semasa menjadi Ketua Wanita Umno tidak pernah bersuara mengenai dana parti dipegang proksi luar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mempertikaikan keputusan Rafidah yang tidak mempersoalkan presiden Umno ketika itu mengenai mengapa dana itu disimpan proksi atau bagaimana ia dibelanjakan.

Abdul Rahman berkata, Rafidah tidak mempersoalkan dana parti ketika itu "dijaga" oleh proksi yang tidak dikenali Umno.

"Waktu itu, 'Iron Lady' tak sokong negara dan parti ke? Atau dia pun sokong individu?" soal Abdul Rahman di akaun Twitternya pada Ahad.

Baru-baru ini, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegur kenyataan veteran Umno itu di Facebook mengenai situasi politik Malaysia.

"Saya hairan dan geleng kepala apabila membaca posting beliau. Selama 22 tahun Tan Sri Rafidah memimpin Wanita, kami sering diingatkan supaya sentiasa disiplin dan taat patuh kepada kepimpinan parti terutama kepada Presiden," katanya.

Rafidah bagaimanapun menegaskan beliau setia kepada parti dan sanggup mati sebagai ahli Umno.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain