suria

Levi: Pas Khas Kepada Majikan Perbaharui PLKS

Sakib Kusmi.

PETALING JAYA: Pas khas dikeluarkan kepada majikan yang memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja asing mulai 1 Februari lalu, berikutan kadar baharu levi yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

Pas khas ini adalah dokumen bagi membolehkan pekerja asing yang tamat tempoh permit bermula 1 Februari sehingga sehingga isu berkaitan kadar levi baharu dimuktamadkan.

Mengikut prosedur Jabatan Imigresen, pas khas berkenaan membenarkan pekerja asing terlibat berada di negara ini sehingga 30 hari selepas tamat tempoh permit. 

Ia hanya dikeluarkan kepada majikan yang menggaji pekerja asing bagi sektor yang terlibat dengan perubahan kadar levi iaitu pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian, sekali gus bermakna majikan yang mempunyai pembantu rumah dikecualikan. 

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang baharu, Datuk Sakib Kusmi berkata, setakat ini, pembayaran levi ditangguhkan sementara bagi penyelarasan pelaksanaan kutipan kadar baharu levi.

Tambah Sakib, pelaksanaan tersebut memerlukan beberapa penambahbaikan sistem mengikut kadar baharu levi dan melakukan perwartaan dalam pindaan Perintah Fi mengikut Akta Fi 1951.

Difahamkan, tempoh masa yang diperlukan untuk penyelarasan levi itu termasuk penambahbaikan dan perwartaan itu adalah sehingga 15 Februari 2016.

“Majikan masih perlu memperbaharui PLKS bagi mengelak pekerja asing yang digaji tinggal lebih masa di negara ini.

“Sepanjang tempoh penangguhan itu, pas khas akan dikeluarkan kepada majikan sehingga kerajaan dan Jabatan Imigresen menyelesaikan perkara berkaitan levi ini,” katanya kepada mStar Online.

Sehubungan itu, Sakib berkata, majikan dinasihatkan supaya memperbaharui permit pekerja asing mereka mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Kita tidak beku pembaharuan permit, ia masih diteruskan. Kita hanya tangguhkan pembayaran kadar baharu levi,” ujar Sakib.

Sebelum ini, pekerja asing dikenakan kadar berbeza mengikut sektor pekerjaan seperti pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan dan pertanian.

Kini hanya terdapat dua kategori - satu untuk sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dengan levi sebanyak RM2,500 dan satu lagi untuk sektor perladangan dan pertanian di mana levi yang dikenakan adalah RM1,500 bagi setiap pekerja.

Artikel Sebelum

Artikel Lain