suria

Kes Bunuh Tapah: Dua Beranak Ditahan Semula

IPOH: Dua beranak yang disyaki terlibat dalam pembunuhan kejam di Tapah pada tahun lalu ditahan semula selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 tidak sampai 24 jam selepas mereka dibebaskan pada petang Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Goh Kok Liang berkata perintah tahanan selama dua tahun itu dikeluarkan Lembaga Pencegahan Jenayah pada pukul 9 malam.

Menurut beliau, seorang mekanik berusia 58 tahun itu akan ditahan di pusat pemulihan khas Simpang Renggam manakala anak lelakinya akan ditempatkan di pusat pemulihan khas Kluang.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Murtazadi Amran membebaskan dua beranak itu selepas menerima permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong.

Namun, kedua-duanya perlu memakai Peranti Pengawasan Elektronik (PPE) selama 59 hari.

"Oleh kerana siasatan belum selesai dalam tempoh masa yang diberikan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (PCA), mereka akan dilepaskan.

"Namun mereka masih disiasat dibawah PCA.

"Mereka akan memakai peranti tersebut selama 59 hari sementara menunggu arahan selanjutnya," kata Harris Ong kepada pemberita selepas prosiding di sini Jumaat.

Sebelum ini, dua beranak berkenaan bersama dua lagi ahli keluarga mereka, ditahan pada 26 Oktober lalu di bengkel kenderaan berat yang juga kediaman mereka kerana dipercayai ada kaitan dengan kehilangan sekurang-kurangnya empat individu.

Bagaimanapun, dua daripada empat suspek kes itu iaitu isteri dan anak suspek utama yang juga orang kurang upaya (OKU) dibebaskan tanpa syarat kerana dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan kes bunuh mangsa berdasarkan hasil siasatan sebelum ini

kes bunuh Tapah, dua beranak

Artikel Lain