Pemandu Van Sekolah Maut Ditumbuk - Semasa | mStar

Pemandu Van Sekolah Maut Ditumbuk

KLANG: Pemandu van sekolah, Mohd Izhharuddin Nordin, yang bakal melangsungkan perkahwinan kira-kira dua minggu lagi, maut ditumbuk seorang lelaki di Jalan Sungai Udang, Teluk Pulai, di sini Rabu.

Mohd Izhharuddin, 24, meninggal dunia selepas ditumbuk seorang lelaki berumur 29 tahun, pada 7 malam selepas dia dikatakan gagal mengambil anak saudara suspek dari sekolah agama di Jalan Hasan di sini.

Sebelum kejadian, mangsa mengambil beberapa pelajar dari sekolah agama berkenaan dan dikatakan telah meninggalkan anak saudara suspek kerana menyangka pelajar itu balik ke rumah lebih awal.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dan menahan van itu.

Berlaku pertengkaran, dan suspek menumbuk Izhharuddin yang duduk di bahagian pemandu.

Tunang mangsa, Siti Umi Kalthum Md Sopian, 32, guru KAFA Integrasi Nurul Ain, Teluk Gadong, di sini berkata: "Semasa itu saya berada di rumah. Kakak saya beritahu dia terlihat van sekolah yang dipandu tunang saya berada di tepi jalan dan orang sedang mengerumuni kenderaan itu.

"Kakak saya kemudian beritahu, tunang saya ditemui berada dalam keadaan tidak sedar dalam van tersebut. Dia kemudian memaklumkan bahawa tunang saya itu telah meninggal dunia," katanya.

Siti Umi Kalthum terkilan kerana hari bahagianya yang berlangsung pada 20 Februari ini, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dan sebahagian kad jemputan juga telah dihantar terutama untuk kenduri di pihak lelaki.

"Dia (Mohd Izhharuddin) begitu teruja dan tidak sabar menunggu hari perkahwinan kami. Saya juga ada belikan dia sehelai jubah (putih krim) yang sepatutnya dipakai arwah semasa kenduri di rumahnya nanti iaitu pada 28 Februari," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Delek di sini Khamis.

Ibu mangsa, Haniza Ahmad, 48, ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, masih terkejut dengan kejadian yang menimpa anak kedua daripada lapan beradik itu.

"Arwah sudah beli beberapa barang hantaran seperti baju, al-Quran dan sejadah sebagai hantaran.

"Dia seorang anak yang baik dan tidak pernah membantah cakap ibu bapa, malah dia juga seronok dengan kerjayanya sebagai pemandu van sekolah yang diwarisi daripada ayahnya (Nordin Mat)," kata Haniza.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan pihak polis untuk menahan reman suspek lelaki tersebut selama seminggu bermula Khamis.

Majistret Nor Asma Ahmad mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - BERNAMA


pemandu van sekolah , maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

Artikel Lain