suria

Diminta Bercuti, Tawfik Enggan Tinggalkan G25

Tawfik Ismail.

PETALING JAYA: Ahli kumpulan G25, Tawfik Ismail berkata beliau menganggap dirinya masih sebahagian daripada kumpulan pro sederhana itu walaupun diminta untuk tidak menghadiri sebarang majlis anjuran kumpulan berkenaan.

Tawfik, anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman berkata beliau menerima notis  yang memaklumkannya mengenai 'cuti sabatikal' daripada seorang ahli G25 menerusi WhatsApp pada November lalu.

Walaupun tidak diketahui sama ada 'cuti sabatikal' itu bersifat sementara atau kekal, Tawfik berkata beliau 'masih menganggap dirinya sebahagian daripada kumpulan pro sederhana itu'.

"Pada saya sabatikal bermaksud seorang pakar akademik akan bercuti, mempelajari sesuatu yang baharu dan kemudian kembali. Saya percaya mereka hanya tidak mahu saya terlalu vokal," katanya.

"Kumpulan ini bukan satu badan formal. Tiada penghulu di sini. Ia bukan pertubuhan berdaftar dan orang ramai datang secara suka rela dan saya rasa jika mereka tidak menyukai sesiapa di sana, tiada apa dapat mereka lakukan," kata Tawfik.

Walaupun beliau tidak lagi bersuara mewakili G25, Tawfik berkata beliau masih boleh berkongsi pemikiran secara bebas selagi kenyataan yang dikeluarkan itu tidak mewakili kumpulan berkenaan.

"Saya masih boleh bercakap dengan beberapa ahli yang juga rakan-rakan saya. Beberapa ahli lain yang mendiamkan diri dari awal tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan hanya empat atau lima ahli yang mengkritik saya. Namun hidup perlu diteruskan," katanya.

Difahamkan keputusan meminta Tawfik untuk 'bercuti' datang dari beberapa ahli kumpulan tersebut selepas beliau mengeluarkan kenyataan mengenai pertemuan G25 dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, Tawfik berkata kenyataannya dihadkan kepada perbualan antara beliau dan dua individu tersebut.

Tidak lama selepas menerima memo mengenai 'cuti sabatikal', Tawfik berkata beliau dinasihatkan untuk tidak menghadiri forum G25 pada Disember lalu.

Tawfik berkata beliau masih akan menghadiri majlis anjuran G25 pada masa hadapan sekiranya dijemput.

"Jika mereka menjemput saya, sudah tentu saya akan hadir. Jika mereka fikir mereka malu saya berada di sana, mengapa saya akan menambah kesengsaraan mereka?

"Saya masih lagi boleh bersuara dan jika G25 mahu menyokong saya, ia tiada masalah. Jika mereka tidak mahu (menyokong), mereka hanya akan mendiamkan diri," kata Tawfik.

Tawfik Ismail, G25

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain