suria

Tiga Sekolah Terjejas Teruk Akibat Banjir Digabung Jadi Satu Sekolah Baharu

KUALA TERENGGANU: Tiga buah sekolah rendah di Hulu Dungun yang sering dilanda banjir akan digabungkan menjadi satu sekolah baharu yang dibina di kawasan lebih selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata cadangan itu telah pun dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan dan masih dalam pertimbangan pihak berkenaan.

"Setiap tahun, tiga sekolah itu ditenggelami air dan mengalami kerosakan teruk melibatkan perabot, kemudahan infrastruktur sekolah, pendawaian elektrik serta kerosakan buku teks akibat banjir dan ini memerlukan kos yang tinggi untuk proses baik pulih iaitu lingkungan RM300,000 bagi tujuan itu.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri bercadang untuk membina sekolah baharu yang lebih selamat dan dilengkapi kemudahan asrama untuk menempatkan antara 300 ke 400 murid dari tiga sekolah berkenaan ke sekolah baharu kelak," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Tiga sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Raja, SK Jongok Batu dan SK Kampung Shukor. 

Mengulas lanjut, Ghazali berkata langkah untuk menggabungkan tiga sekolah itu juga tepat pada masanya memandangkan ketiga-tiga sekolah itu kekurangan murid. 

"Kerajaan negeri berharap pembinaannya dengan anggaran kos keseluruhan bernilai RM25 juta dapat disegerakan oleh kerajaan pusat," katanya.

Pada akhir 2014, terdapat 61 buah sekolah di Terengganu yang terjejas akibat banjir dan daripada jumlah itu, 16 sekolah mengalami kerosakan teruk termasuk di Dungun dan Kemaman yang memerlukan kos RM16 juta bagi membaiki kerosakan aset sekolah tahun ini. 

Bagaimanapun, kesemua sekolah itu tidak terjejas pada musim tengkujuh tahun lepas kerana impak banjir yang tidak terlalu teruk berbanding tahun sebelumnya. 
-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain