suria

Lelaki Maut Ditetak Di Puchong

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas ditetak dengan parang dan pedang oleh sekumpulan lelaki berdekatan sebuah restoran di Puchong.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata ketika kejadian pada 8 malam Sabtu lepas, mangsa, R. Nagaiyan, 30, diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan pedang ketika berada berhampiran restoran itu bersama adik lelaki dan rakannya.

"Mangsa yang cedera parah di seluruh badan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya jam 10.33 malam hari yang sama," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, enam suspek berusia 25 hingga 40 tahun kini ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

"Empat lagi suspek masih diburu polis," katanya.

Difahamkan punca kejadian berlaku disebabkan perselisihan faham berkaitan sewaan tapak letak kenderaan.-- Bernama

Artikel Lain