suria

Jangan Sesekali Lupa Nasib Rakyat Palestin

KUALA LUMPUR: Komuniti antarabangsa tidak harus sekali-kali melupakan nasib rakyat Palestin walaupun banyak konflik berlaku di sekitar negara Timur Tengah, kata Duta Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar Al Agha.

Beliau berkata konflik di Palestin menjadi isu yang telah lama dan belum mempunyai jalan penyelesaian.

"Apabila konflik di Palestin dapat diselesaikan, barulah isu lain di Timur Tengah juga akan selesai.

"Terlalu banyak perhatian diberikan kepada isu-isu lain di Timur Tengah, namun, tiada apa yang telah diselesaikan untuk Palestin," katanya ketika berucap pada Hari Antarabangsa mengenai Menyokong Hak Rakyat Palestin di Kawasan Diduduki pada 1948, di sini, Ahad.

Dr Anwar berkata rakyat Palestin telah menderita selama 67 tahun di bawah pendudukan Israel dan berharap masyarakat antarabangsa akan berdiri teguh di samping mereka serta menyokong penubuhan negara Palestin.

Beliau berharap dengan penglibatan komuniti antarabangsa, pembunuhan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin oleh Israel dapat dihentikan.

Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia kekal sebagai penyokong terkuat terhadap rakyat Palestin seperti ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakyat Malaysia di semua peringkat.

Palestin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain